Batal tiket: 80 peratus pelanggan terima sistem kredit AirAsia – Tony Fernandes

KUALA LUMPUR,. Lebih 80 peratus pelanggan AirAsia menerima sistem kredit sebagai pilihan alternatif bagi penerbangan yang dibatalkan susulan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes, berkata sistem kredit yang ditawarkan kepada pelanggan terjejas sah selama 365 hari dan tarikh penerbangan boleh ditukar tanpa had masa.

“Kami menggalakkan pelanggan menerima sistem kredit. Kami benar-benar menghargai apabila lebih 80 peratus pelanggan AirAsia memilih sistem kredit.

“Namun, kami juga menerima permohonan untuk bayaran balik berdasarkan kes. Namun, disebabkan jumlah permohonan tinggi, ia mungkin mengambil masa antara 12 hingga 16 minggu,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web rasmi AirAsia.

Fernandes menjelaskan, industri penerbangan terjejas teruk disebabkan COVID-19 dan AirAsia tidak terkecuali menerima kesan daripada krisis kesihatan itu.

“Ia adalah cabaran terbesar yang perlu dihadapi kami. Kami tidak meraih pendapatan disebabkan 96 peratus daripada armada pesawat kami tidak dapat beroperasi.

“Namun kami masih mempunyai komitmen kewangan seperti membayar pembekal bahan api dan pajakan. Ia mencerminkan tumpuan kami untuk keluar dari masa yang sukar ini dan terbang lagi bersama anda secepat mungkin.

“Kami memastikan bahawa AirAsia mematuhi semua peraturan dan keperluan kerajaan dan pihak berkuasa dan percaya ini adalah penyelesaian terbaik,” katanya.

Beliau berkata, syarikat penerbangan tambang rendah itu berusaha mengurangkan kos untuk menangani krisis sebelum kembali menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Kami adalah antara beberapa syarikat penerbangan di dunia yang akan terus menjaga kakitangan kami.

“AirAsia adalah seperti sebuah keluarga dan terdapat puluhan ribu yang bergantung kepada perniagaan ini untuk mencari nafkah demi kesejahteraan keluarga kami,” katanya.

Fernandez berkata beliau dan Pengerusi AirAsia Group, Datuk Kamarudin Meranun akan menolak pembayaran gaji sepanjang tempoh ini.

“Pekerja kami menerima pengurangan gaji sementara antara 15 hingga 75 peratus bergantung kepada tempoh perkhidmatan bagi berkongsi impak yang perlu ditanggung oleh AirAsia,” katanya.

“Saya mengucapkan terima kasih atas pengorbanan mereka memahami perkara ini dalam mengharunginya bersama,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )