Batalkan pas imigresen jika keluar kenyataan tak tepat

Batalkan pas imigresen jika keluar kenyataan tak tepat

KUALA LUMPUR,. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi amaran membatalkan kelulusan pas kepada warga asing jika mengeluarkan kenyataan tidak tepat dengan tujuan memburukkan imej negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, mengingatkan pemegang pas jangka panjang seperti pas penggajian, lawatan kerja sementara dan pas residen supaya berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Mereka berdepan risiko pembatalan pas dan akan diminta meninggalkan negara ini serta-merta, jika kenyataan berkenaan tidak tepat dan bertujuan memburuk-burukkan imej Malaysia,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang diterbitkan oleh agensi berita Al Jazeera.

Khairul Dzaimee berkata, laporan mengenai operasi JIM semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disifatkan agensi berita antarabangsa itu sebagai rasis dan tidak berperikemanusiaan adalah tidak benar kerana tidak mengambil kira fakta sebenar.

“Operasi Imigresen di sekitar Jalan Masjid India, di sini, pada 1 Mei lalu memeriksa seramai 3,352 warga asing, namun jumlah ditahan untuk siasatan lanjut hanya 586 orang.

“Kerajaan Malaysia juga memberi rawatan secara percuma kepada 773 warga asing yang didapati positif COVID-19 di Depot Tahanan Imigresen (DTI) dan terdapat kedutaan asing yang memuji tindakan ini serta mengucapkan terima kasih,” katanya.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.– BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )