BATC: Malaysia kalahkan Jepun 3-2

BATC: Malaysia kalahkan Jepun 3-2

SHAH ALAM,. Skuad lelaki negara melangkah ke separuh akhir selepas mengatasi Jepun 3-2 untuk muncul juara kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, pada Jumaat.

Bagaimanapun, barisan pemain negara terpaksa bergelut meskipun pasukan Jepun membariskan pemain muda yang kebanyakannya bukan pilihan, sebelum mengesahkan tiket ke separuh akhir pada perlawanan peringkat kumpulan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, di sini.

Perseorangan utama negara Lee Zii Jia yang turun selaku pemain pertama terpaksa ‘bermandi peluh’ apabila diheret bermain sehingga set penentuan sebelum mengesahkan kemenangan ke atas pemain di ranking ke-343 Riku Hanato.

Hanato mengejutkan pemain negara di ranking ketujuh dunia itu apabila menang set pertama 21-15, sebelum Zii Jia bangkit menguasai set kedua dengan 21-6 dan mengesahkan mata pertama buat pasukan negara dengan menang set ketiga 21-15 dalam 56 minit perlawanan.

Mengulas mengenai prestasinya, Zii Jia berkata kekalahan pada set pertama berpunca daripada beberapa kesilapan mudah dan keadaan angin menyebabkan beliau sukar mengawal bulu tangkis.
BATC
“Ia lebih mudah untuk saya pada set kedua dan jurang mata juga besar. Dan dalam set penentuan, saya tidak mahu terlalu jauh sehingga mata ke-11, dan sebaik bertukar saya yakin untuk menang.

“Gaya permainan Hanato mirip Kento Momota, agak sukar dijangka. Ini bukan prestasi terbaik saya, tapi saya berpuas hati dapat mengurus tekanan, jadi harap boleh menampilkan prestasi lebih stabil selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan pada Jumaat.

Bagaimanapun, nasib berbeza buat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila tunduk kepada gandingan di ranking ke-857 Ayato Endo-Yuta Takei 21-23, 16-21.

Gandingan ketujuh dunia dilihat mampu memenangi set pertama apabila mendahului 20-14 namun hilang fokus dan gagal memanfaatkan peluang ke atas gandingan Jepun berusia 21 tahun.

“Kita bukan mengambil mudah mereka kerana kita tahu Jepun memang kuat, tidak kira hantar pasukan A atau B. Selepas menang set pertama, keyakinan dan kelajuan mereka sudah meningkat, jadi kita hadapi tekanan,” kata Aaron.

Skuad negara sekali lagi gagal mengutip mata apabila perseorangan kedua negara Aidil Sholeh Ali Sadikin tewas kepada Koo Takahashi 21-19, 16-21, 15-21 dalam pertarungan berlangsung satu jam 16 minit.

Beregu kedua negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani kembali membuka harapan buat pasukan negara apabila mengutip mata penyamaan selepas menang 17-21, 21-17, 21-17 ke atas pasangan Shuntaro Mezaki-Haruya Nishida.

Pemain di ranking ke-126 Leong Jun Hao muncul wira apabila menyumbang mata kemenangan selepas menundukkan Koshiro Moriguchi 21-18, 21-16.

Malaysia memulakan kempen pada Rabu dengan kemenangan ke atas skuad Singapura diketuai Lok Kean Yew dan pasukan Kazakshtan dengan kemenangan masing-masing 5-0 untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir BATC dan tiket ke Piala Thomas secara merit.

Malaysia mengungguli kumpulan dengan tiga mata selepas menang kesemua perlawanan peringkat kumpulan manakal Singapura di tempat kedua selepas menewaskan Jepun 3-2 dan Kazakhstan 5-0, sekali gus layak ke separuh akhir.

Pada perlawanan separuh akhir hari ini, Malaysia bakal berdepan Korea Selatan manakala Singapura akan berdepan Indonesia.

Sementara pasukan wanita pula menempah laluan sukar apabila diundi berdepan penyandang naib juara Korea Selatan manakala Jepun akan bertemu Indonesia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)