Bayaran fasa pertama BPN 2.0 bermula awal dari jadual

Bayaran fasa pertama BPN 2.0 bermula awal dari jadual

KUALA LUMPUR,. Bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 yang dijadualkan pada 26 Okt ini telah dipercepatkan kepada 19 Okt lepas.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata pembayaran BPN 2.0 fasa pertama itu dapat dipercepatkan berikutan komitmen dan usaha pegawai-pegawai kementerian, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan institusi kewangan yang terlibat.

“Pembayaran sedang dibuat secara berperingkat dengan mengutamakan golongan B40 melibatkan 7.5 juta penerima iaitu 3.7 juta penerima kategori isi rumah dan 3.8 juta penerima kategori bujang.

“Manakala golongan M40 pula yang melibatkan 3.1 juta penerima iaitu 1.4 juta penerima kategori isi rumah dan 1.7 juta penerima kategori bujang, pembayaran telah bermula pada 22 Okt,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut memaklumkan proses pengkreditan bayaran BPN 2.0 itu akan berterusan dan dijangka diselesaikan sebelum hujung bulan ini.

Menurut kenyataan itu, penerima yang tidak mempunyai akaun bank boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 26 Okt ini manakala penerima yang didapati gagal kredit pula akan dapat membuat penunaian mulai minggu kedua November 2020.

Kenyataan itu menambah bagi negeri-negeri yang sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihak BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa bagi menjaga kesihatan dan keselamatan penerima.

“Kerajaan juga ingin mengingatkan bahawa tempoh permohonan baharu BPN 2.0 masih dibuka sehingga 15 Nov ini. Bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekali gus pada bulan Januari 2021.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta e-mel kepada [email protected],” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )