Bayi dalam kandungan pelakon Faralyna meninggal dunia

Bayi dalam kandungan pelakon Faralyna meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Kalau sudah namanya takdir, apa kudrat yang ada pada manusia untuk menolak aturan Yang Maha Esa. Memahami bahawa aturan Allah itu sebabnya, pelakon, Faralyna Md Idris berlapang dada menerima ketentuan anak ketiga yang dikandung hanya dipinjamkan seketika bagi tempoh empat bulan.

Sehari sebelum umat Islam menyambut puasa, Faralyna kehilangan zuriat ketiga yang diberi nama Muhamad Farid Muhammad Fikri itu dalam kandungannya

Pelakon yang menempa populariti dalam drama Kisah Kaisara itu berkongsi berita duka itu di akaun Instagramnya. “Saya dan suami merancang memiliki anak ketiga selepas anak bongsu, Fira Ayu genap tiga tahun usianya.

“Bohonglah kalau beritahu pada awal kehamilan, saya tidak berharap mendapat anak lelaki. Sejak hamil, saya malas hendak mengemaskini perkembangan diri di IG. “Sampai ada menegur kenapa tidak lagi aktif di IG. Saya sedar, sekalipun Tuhan beri rezeki itu dan ini, pada bila-bila masa juga Tuhan boleh ambil kembali,” katanya seperti dilaporkan portal BH Online.

Sebelum hamil Allahyarham Muhamad Farid, Faralyna dan suami, Muhammad Fikri yang dinikahinya pada 2014 dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Fira Anggun dan Ayu. Menurut Faralyna, pada awal kehamilannya, tiada sebarang masalah yang dikesan, sebaliknya, segala-galanya dipermudahkan.

“Kali terakhir saya buat pemeriksaan doktor adalah apabila usia kandungan memasuki minggu ke-13 dan ke-14. “Doktor beritahu bayi okay dan sihat. Tambah teruja apabila saya diberitahu bayi dikandung adalah lelaki.

“Pada usia kandungan empat bulan, saya lihat cukup sifat dan jari bayi sudah kelihatan seperti bergerak,” katanya. Bagaimanapun, kongsi Faralyna, pada malam 10 April lalu, dia merasakan seolah ada yang tidak kena pada kandungannya.

“Perut macam rasa sesuatu. Saya cuba pejamkan mata tetapi tersedar kira-kira jam 2 pagi. “Perut mula kejang, sakit belakang dan kaki lenguh. Kebetulan suami pulang dari kerja pada jam 3 pagi dan terus diajak ke hospital.

“Sebelum keluar rumah, saya alami pendarahan. Sampai hospital, air ketuban pula pecah,” katanya. Susulan itu, doktor yang merawatnya, kata Faralyna, melakukan imbasan pertama dan mendapati jantung kandungannya lemah.

“Saya tiba-tiba tiba demam panas. Doktor beritahu peluang bayi (untuk hidup) sangat sangat rendah. “Ketika itu, saya tidak tahu hendak fikir apa… Tawakal sahaja. Saya melahirkan bayi pada jam 3 pagi, Isnin lalu. Namun, anak saya sudah meninggal dalam perut lagi,” kongsi Faralyna lagi.

-Awani

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)