
BCorp meterai MoU dengan BRetail
KUALA LUMPUR,. Berjaya Corporation Bhd (BCorp) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Berjaya Retail Sdn Bhd (BRetail) dan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, pemegang saham utama kedua BCorp dan BRetail akan memperoleh 100 peratus kepentingan dalam Singer (M) Sdn Bhd dari BRetail pada harga RM388 juta.
Ini dilakukan selepas pembayaran hutang syarikat Singer Group berjumlah RM148 juta berbanding pertimbangan pembelian sebanyak RM536 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, BCorp berkata pengambilalihan itu akan melibatkan penerbitan saham BCorp baru pada harga terbitan 33 sen setiap satu, mewakili premium 14 sen, atau kira-kira 74 peratus berbanding harga penutupan Jumaat lepas sebanyak 19 sen sesaham BCorp.
BCorp akan menerbitkan kira-kira 1.176 bilion saham BCorp untuk pembayaran bersih sebanyak RM388 juta, katanya.
“Sebagai tambahan, Tan akan memberikan jaminan keuntungan kepada BCorp dengan Singer akan memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM20 juta setahun untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember, 2020 dan 31 Disember, 2021,” tambahnya.
BCorp berkata berdasarkan pembayaran bersih RM388 juta untuk 100 peratus kepentingan dalam Singer, jaminan keuntungan sebanyak RM20 juta setahun akan diterjemahkan menjadi pendapatan harga bersih sebanyak 19.4 kali.
Singer adalah jenama isi rumah di Malaysia dengan modal saham terbitan sedia ada berjumlah RM438 juta.
Pada 31 Disember 2019, aset bersih Kumpulan Singer yang belum diaudit berjumlah RM561 juta.
Mengulas mengenai latngkah tersebut, Tan berkata Singer telah berada di Malaysia lebih 100 tahun dan mempunyai lebih daripada 450 kedai di seluruh negara dengan kira-kira 3,000 ejen jualan.
“Saya yakin bahawa pengambilalihan Singer itu akan meningkatkan profil kumpulan kami dan melengkapkan pelbagai perniagaan BCorp. Pengambilalihan berkenaan juga akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan BCorp Group pada masa akan depan,” katanya.
Sementara itu, dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, BCorp berkata dagangan sekuritinya akan disambung dari mulai 9.00 pagi esok (3 Jun).
Syarikat itu telah meminta menggantung dagangan sekuritinya dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang dari 1 hingga 2 Jun, sementara menunggu pengumuman urus niaga,
— BERNAMA