Bekalan air di tiga kawasan pulih sepenuhnya

Bekalan air di tiga kawasan pulih sepenuhnya

KUALA LUMPUR,. Bekalan air di kawasan Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang dan Putrajaya yang terjejas ekoran pencemaran bau di Sungai Semenyih telah pulih sepenuhnya setakat 12 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abdul Halem Mat Som berkata kawasan Petaling yang turut terjejas telah mencapai pemulihan pada tahap 99.8 peratus.

“Berikutan sebahagian besar kawasan telah menerima bekalan air, beberapa PKS (Pusat Khidmat Setempat) dan pili-pili awam telah ditutup mulai jam 12 tengah hari. Manakala, jumlah lori tangki di kawasan yang telah pulih juga turut dikurangkan dan sebahagiannya dihantar ke kawasan yang masih memerlukan bantuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihaknya menjangkakan bekalan air di kawasan terjejas akan pulih sepenuhnya menjelang malam ini atau selewat-lewatnya sebelum tengah malam ini.

Sabtu lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu membuang bahan sisa buangan haram di lurang pembentungan sekitar loji milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd.

Susulan penutupan itu, 366 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah terjejas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )