Bekalan, harga pasaran & borong beras negara kekal stabil – Bernas

Bekalan, harga pasaran & borong beras negara kekal stabil – Bernas

KUALA LUMPUR,. Bekalan beras yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia mudah diperolehi dan harganya di pasaran runcit kekal sebagaimana sebelum penularan wabak COVID-19 berlaku, kata Padiberas Nasional Bhd (Bernas) hari ini.

Ia berkata harga jualan Bernas kepada pemborong adalah kekal dan tidak berubah untuk beras putih tempatan dan beras import sejak beberapa tahun lepas.

“Walaupun harga beras di pasaran dunia telah meningkat berikutan wabak COVID-19, Bernas tetap terus komited untuk memantau serta memastikan harga pasaran beras kekal stabil serta berpatutan,” menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Bernas berkata sebarang lebihan harga kos atau operasi akan dibiayainya sendiri.

Ia berkata demikian bagi mengulas laporan media yang bertajuk ‘Pengilang, Peruncit Beras Tertekan dengan Kenaikan Harga Borong, kata MTEM’ pada Ahad 19 April, 2020.

Bernas akan terus memelihara kestabilan harga serta memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi, terutama ketika negara menghadapi penularan wabak COVID-19, menurunya.

Syarikat itu berkata wabak COVID-19 mengakibatkan beberapa negara mengalami kenaikan harga makanan asas seperti beras, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sesetengah masyarakat di Malaysia mengenai bekalan sukar diperoleh.

“Seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan serta kementerian lain yang berkaitan, keadaan keselamatan dan bekalan makanan negara adalah terkawal,” katanya.

Bernas juga berkata kenyataan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) bahawa Bernas diberikan subsidi dan MOA memonopoli beras import adalah sangat tidak berasas.

“Sehingga hari ini, Bernas terus melestarikan tanggungjawabnya kepada rakyat dalam mengawasi perkembangan industri padi dan beras serta menjalankan obligasi sosial negara.

“Ini antaranya dalam sektor pengimportan beras, pengurusan dan pembayaran subsidi kepada petani, menguruskan Skim Pengilangan Padi Bumiputera, membeli padi daripada petani pada harga terjamin dan bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada petani,” katanya.

Bernas juga akan terus bekerjasama dengan MOA dalam memastikan kelangsungan industri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)