Bekalan minyak sawit Malaysia mencukupi untuk AS, EU

Bekalan minyak sawit Malaysia mencukupi untuk AS, EU

KUALA LUMPUR,. Malaysia mempunyai bekalan minyak sawit yang mencukupi untuk permintaan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU), kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata transaksi rentas sempadan untuk Malaysia membekalkan minyak sawit kepada AS dan EU sudah bermula pada masa ini.

“Perang Ukraine-Rusia menyebabkan kekurangan bekalan minyak makan lain seperti minyak soya, minyak jagung dan minyak bunga matahari.

“Kini AS dan EU tidak ada pilihan tapi berpatah balik untuk guna minyak sawit,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Ramadan dan Penyampaian Bantuan Prihatin Majlis Getah Malaysia (MRC) di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang, dekat sini.

Menurut Zuraida permintaan kembali minyak sawit merupakan peluang untuk Malaysia membuktikan kebaikan produk itu yang sebelum ini menghadapi tekanan dan propaganda prejudis.

Dalam pada itu, beliau berkata satu jawatankuasa khas akan bermesyuarat setiap hari mulai 15 April ini untuk menyegerakan kelulusan 500,000 pekerja asing dalam pelbagai sektor termasuk perladangan, yang tertunggak sebelum ini.

Menurut Zuraida, beliau akan ke Mesir dan Qatar pada Sabtu (16 April) ini untuk mempromosi pelbagai agrokomoditi Malaysia termasuk sawit, getah dan balak.

“Prestasi Malaysia di Qatar dan Mesir meningkat 50 peratus dan ia merupakan petanda yang baik,” katanya.
Sementara itu, pada majlis tersebut Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi MRC meraikan 300 orang asnaf, ibu tunggal dan warga emas.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang menyerahkan sumbangan MRC berjumlah RM20,000 iaitu RM10,000 untuk Masjid Darul Ehsan dan masing-masing RM5,000 untuk Surau Ihsaniah dan Surau Ubudiah di Ampang Jaya.
— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)