Bekas Duta Jepun sedih dengan jumlah kematian melibatkan motosikal

Bekas Duta Jepun sedih dengan jumlah kematian melibatkan motosikal

KUALA LUMPUR,. Kadar kematian yang amat tinggi melibatkan penunggang motosikal dalam kemalangan jalan raya di Malaysia telah menimbulkan rasa kebimbangan kepada bekas Duta Jepun ke Malaysia.

Dr Makio Miyagawa, duta Jepun yang paling lama berkhidmat di sini iaitu kira-kira enam tahun sebelum menamatkan khidmatnya dua bulan lepas berkata, memandangkan kebanyakan penunggang dan pembonceng motosikal yang terbunuh setiap tahun di jalan raya negara ini terdiri daripada belia, “saya berasa amat bimbang terhadap masa hadapan golongan muda ini”.

Sepanjang tempoh berada di Malaysia, beliau menyaksikan budaya menunggang motosikal dan sikap tidak peduli golongan ini hingga sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri.

“Kita perlu memberitahu kepada belia yang mempertaruhkan nyawa mereka sekadar untuk berseronok bahawa mereka sebenarnya menggali kubur sendiri tanpa menghiraukan perasaan ibu bapa yang telah melahirkan mereka ke dunia ini.

“Di Jepun, kami diberitahu bahawa dari rambut hingga ke kulit, seseorang itu diberi semua yang ada di seluruh badannya oleh ibu bapa. Jangan sesekali mencederakan diri kerana ia adalah asas bagi menghormati ibu bapa,” katanya kepada Bernama di sini semasa percutian seminggu bersama keluarganya awal minggu ini.

Dan menyelami perasaan itu dengan pemikiran yang lebih berfalsafah, beliau berkata: “Mereka juga tidak memikirkan langsung mengenai bagaimana trauma ibu yang mengandungkan mereka selama sembilan bulan dan traumanya untuk melahirkan mereka”.

Miyagawa berkata, sepatutnya golongan remaja perlu menghindarkan rasa takut, menjadi berani dan melepasi sempadan bagi membuktikan peningkatan kemanusiaan, kerana ia boleh memperkasakan mereka serta menjadikan masyarakat dan negara ini lebih maju dan sejahtera.

“Bagaimanapun, untuk mensia-siakan nyawa yang diberi kepada mereka bagi sesuatu yang tidak produktif dan membahayakan nyawa ramai orang lain dalam masyarakat adalah lebih baik dituduh dan tidak akan pernah dihargai.

Bekas diplomat itu juga berkata beliau menyokong satu cadangan baru-baru ini oleh Safety First Group, sebuah kumpulan masyarakat tempatan yang prihatin apabila mempromosi keselamatan di jalan raya dan tempat kerja, penunggang motosikal diarah menggunakan laluan khas sahaja dan mematuhi had laju dengan tidak membawa laju.

“Cadangan yang amat baik,” jelas beliau.

Purata 4,700 penunggang dan pembonceng motosikal terbunuh setiap tahun sejak beberapa tahun lepas dengan beberapa ribu lagi mengalami kecederaan serius.

Safety First Group mengadakan kempen agar undang-undang dikuatkuasakan bagi mengharamkan penunggang motosikal menggunakan pelbagai laluan, yang menjadi punca utama pelanggaran mati, dengan maksimum kelajuan 70km/h.

Dr Makio berkata, beliau mendapat keistimewaan yang tidak disangka apabila ditugaskan di negara yang indah ini sebanyak dua kali dalam hidupnya dan lebih lima dan setengah tahun sebagai Duta.

“Rakyat Malaysia begitu penyayang, berbudi dan bijaksana, dan terutama menilai erti sahabat.

“Malaysia sedang bergerak untuk membina sebuah negara yang bermaruah dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kemajuan. Saya berharap Malaysia akan dapat memainkan peranan utamanya di rantau Asia Tenggara,” katanya, dan menambah bahawa beliau akan sentiasa merindui negara ini terutama kemesraan rakyat serta cuaca tropikanya.

— BERNAMA

Oleh Azman Ujang

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)