
Bekas jurugambar televisyen swasta terharu dikunjungi rakan media
KUALA KRAI,. Seorang bekas jurugambar syarikat televisyen swasta, Nordin Abdullah yang kini bertarung dengan penyakit barah kelenjar tahap empat, terharu dikunjungi rakan-rakan media daripada Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi).
Nordin, 64, disahkan menghidap kanser itu pada Oktober tahun lepas dan telah menjalani enam kali rawatan kimoterapi dan kini hanya mampu terbaring.
“Saya kini menunggu tarikh untuk ke Hospital Putrajaya bagi membuat pemeriksaan lanjut mengenai keadaan kanser saya ini.
“Walaupun masih terbaring, saya kini kembali mempunyai selera makan dan berharap keadaan ini akan semakin baik,” katanya yang tidak mampu menahan sebak apabila dikunjungi rakan-rakan media di rumahnya di Kampung Kuala Nal di sini hari ini.
Presiden Kemudi Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi berkata kelab itu yang mendapat kerjasama dengan I Medikel Berhad turut mengunjungi tiga lagi rakan media yang uzur bagi menyampaikan bantuan pek makanan, barangan perubatan dan wang tunai melalui program Ziarah Kasih Kemudi.
“Kemudi berharap dengan bantuan ini akan dapat mengurangkan beban kewangan mereka dan berharap mereka cepat sembuh,” katanya.
— BERNAMA