Bekas kakitangan KTMB disaran kongsi kepakaran dalam buku

Bekas kakitangan KTMB disaran kongsi kepakaran dalam buku

KUALA LUMPUR,. Bekas kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) disaran berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka melalui penulisan buku.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata usaha itu dapat membantu badan pengangkutan awam sedia ada membuat rujukan mengenai industri keretapi, selain memberi peluang generasi muda mendalami sejarah pembangunan keretapi di negara ini.

“Tuan-tuan semua telah bertugas begitu lama sehingga bersara dan telah menyumbang kepada pembangunan negara. Di masa terluang ini, sebagai pesara saya sarankan tuan-tuan yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu mungkin boleh menulis buku.

“Tidak perlu terlalu tebal, memadai 20 hingga 30 muka surat menceritakan teknologi keretapi api, daripada enjin wap, diesel, elektrik dan keperluan akan datang,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kesembilan persatuan itu di Memorial Tun Abdul Razak hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Bekas Kakitangan KTMB Lt. Kol Datuk Sarbini Tijan berkata pihaknya bersedia menyumbang sebarang bentuk kepakaran mahupun pengalaman dalam aspek pengangkutan awam di bandar kepada pihak yang memerlukan termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan.

Persatuan itu yang dianggotai lebih 500 ahli mempunyai pelbagai kepakaran dan kemahiran termasuk teknikal, operasi, kejuruteraan, komunikasi, teknologi maklumat, aset atau hartanah, pentadbiran dan perkhidmatan.

“Walaupun kami sudah berumur, semangat kami masih kuat untuk membantu negara membangunkan pengangkutan awam yang berkualiti dan berjaya pada masa akan datang,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)