Bekas Ketua Pengarah IKIM Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan tahun ini
KUALA LUMPUR,. Bekas Ketua Pengarah Institusi Kefahaman Islam (IKIM) Datuk Dr Abdul Monir Yaacob diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan, manakala Mufti Besar India Sheikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari pula dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1445H/2023M.
Abdul Monir, 77, dipilih berdasarkan sumbangan besarnya dalam pembangunan syiar Islam negara, antaranya semasa menjadi Pengerusi Jawatankuasa Keutuhan Jabatan Perdana Menteri, beliau telah mencadangkan pemakaian tudung bagi pegawai polis wanita pada 2002.
Selain itu, belia juga merupakan individu yang bertanggungjawab menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail berhubung kesukaran banduan Islam ketika itu untuk menunaikan solat kerana hanya dibenarkan berpakaian tshirt putih dan seluar pendek.
Anak kelahiran Mengkarak, Bera, Pahang ini juga pernah dianugerahkan tokoh Maal Hijrah Negeri Pahang peringkat persekutuan pada 1427H /2006M serta Anugerah Buku Negara, Buku Kajian Ilmiah Terbaik Peringkat Persekutuan pada 2016.
Sementara itu, Sheikh Abu Bakar, 92, merupakan pengasas Pusat Pendidikan Jamia Markaz atau Mazkazu Saquafathi Sunniya yang ditubuhkan pada 1978 , yang memberi perkhidmatan pendidikan dan kemanusiaan.
Jamia Markaz itu mempunyai lebih 130 cabang ilmu di dalam dan di luar India serta merupakan pusat pendidikan yang terbesar di negara berkenaan, selain memperkenalkan sistem universiti terbuka yang mempunyai kurikulum yang unik.
Beliau juga pernah mengarang dan menerbitkan lebih 45 buku mengenai pelbagai topik dalam Bahasa Arab, Urdu, Inggeris dan Bahasa Malayalam serta memiliki warisan teks ulasan sahih Al-Bukhari.
Selain itu, beliau pernah menjadi Pengerusi salah satu akhbar Malayalam, The Siraj Daily, yang mempunyai edisi India, Emiriah Arab Bersatu dan Oman.
Anugerah kepada kedua-dua tokoh ini termasuk wang tunai dan sijil penghargaan, disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/ 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Turut berangkat pada majlis itu adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
–BERNAMA