Bekas pengarah syarikat didakwa terima wang hasil aktiviti haram RM1.26 juta

Bekas pengarah syarikat didakwa terima wang hasil aktiviti haram RM1.26 juta

KUALA LUMPUR: Bekas pengarah syarikat penyedia perkhidmatan perundingan pengurusan perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.26 juta.

Mengikut lapan pertuduhan, Muhammad Fadzli Jamaludin, 33, didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang dimasukkan ke dalam dua akaun semasa miliknya iaitu Maybank Islamic Berhad berjumlah RM1,197,960 dan CIMB Bank Berhad sebanyak RM40,040.

Bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Fadzli didakwa menerima wang berjumlah RM25,000 hasil daripada aktiviti haram yang dimasukkan ke dalam akaun semasa RHB Islamic Bank Berhad milik syarikatnya, Kyaputen Enterprise.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di bank CIMB, RHB dan Maybank Cawangan Bandar Baru Bangi, antara 10 Ogos 2018 hingga 3 April 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC), K. Mageswary berkata kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihaknya mencadangkan jaminan berjumlah RM150,000 dengan dua penjamin warga tempatan.

“Kami juga mohon tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali. Tertuduh mempunyai tiga pertuduhan predikat di Mahkamah Sesyen Jenayah 10. Oleh itu, kami akan mohon untuk kesemua pertuduhan dibicarakan bersama,” katanya.

Peguam B. Puvarasan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya tidak lagi bekerja dan perlu menyara keluarga.

Hakim Azrul Darus yang menetapkan sebutan semula kes pada 11 Dis ini membenarkan tertuduh diikat jamin RM180,000 bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di Pejabat SC setiap bulan.

Pada 9 Nov lepas, Muhammad Fadzli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan menjalankan perniagaan dalam pengurusan dana tanpa lesen.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)