Belanjawan 2021 beri perhatian pada semua terlibat dalam sektor pelancongan

KUALA LUMPUR,. Belanjawan 2021 yang inklusif, menyentuh penglibatan pelbagai pihak menyumbang kepada rantaian ekonomi berkaitan sektor pelancongan dilihat mampu merancakkan kembali sektor berkenaan yang terkesan teruk akibat COVID-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata rantaian ekonomi dalam industri pelancongan seperti penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, agensi pelancongan, aset-aset warisan seni dan budaya serta pengurusan acara di negara ini perlu diberi perhatian.

“MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) yakin kesungguhan kerajaan dalam memastikan matlamat kedua (Belanjawan 2021) iaitu kelangsungan perniagaan menerusi strategi memperkukuh sektor-sektor tumpuan khususnya kelangsungan industri pelancongan menjadi suntikan kepada semua yang terlibat dalam pertumbuhan sektor pelancongan, seni dan budaya di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nancy berkata perhatian kerajaan itu secara tidak langsung membolehkan lebih ramai pihak menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan, seni dan budaya serta merancang strategi yang lebih mampan dan berdaya saing.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021 Jumaat lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz antara lain mengumumkan penyediaan program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan syarikat penerbangan di Malaysia dengan peruntukan RM50 juta.

Selain itu, peluang pekerjaan bakal disediakan kepada 500 orang daripada komuniti setempat dan Orang Asli sebagai jurupandu pelancong di semua taman negara bagi merancakkan ekopelancongan. Sejumlah RM50 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara.

Nancy turut menyambut baik peruntukan RM100 juta kepada pihak berkuasa pembangunan wilayah terutama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar serta Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah bagi melengkapkan kemahiran baharu kepada tenaga kerja yang terkesan berikutan penutupan sempadan.

“Ini dapat melengkapkan kemahiran baharu kepada tenaga kerja yang terjejas teruk akibat penutupan sempadan bagi pelancong asing mampu membantu mereka mendapat peluang kerja atau sumber pendapatan baharu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis berpandangan peruntukan kerajaan dalam Belanjawan 2021 bagi membaik pulih dan menyelenggara infrastruktur bangunan warisan sebagai tepat pada masanya.

Beliau berkata ketiadaan pelancong akibat pandemik COVID-19 membantu mempercepatkan lagi usaha berkenaan sekali gus memastikan bangunan warisan negara kekal terpelihara.

“Contohnya, lihat sahaja candi Angkor Wat di Kemboja dan Istana Buckingham di London yang walaupun kini tiada pelancong, bangunan warisan itu tetap dinaik taraf. Inilah masa yang sesuai untuk melakukannya kerana ketiadaan pelancong. Sekiranya dilakukan ketika ramai pelacong, ia akan mengganggu dan menakutkan pelancong,” katanya pada sidang media hari ini.

Uzaidi berkata MTC akan menganjurkan Malaysia Tourism Gold Summit 2020 yang pertama secara dalam talian bermula 11 hingga 13 Nov menerusi laman sesawang http://www.MTCSummit bagi memperkasakan semula industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Melalui acara ini, kita boleh berkongsi pendapat dan mendapat maklum balas daripada semua pemain industri mengenai keadaan sebenar industri pelancongan yang dianggap kritikal pada masa ini. Ini antara usaha membina semula rangkaian bagi mewujudkan peluang-peluang baharu dalam menghidupkan kembali industri pelancongan negara yang terjejas akibat pandemik,” katanya.

Berbeza dengan Nancy dan Uzaidi, Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Tan Kok Liang berkata belanjawan itu kurang sokongan untuk menetapkan hala tuju pemulihan bagi industri pelancongan pada 2021 dan seterusnya.

Beliau yang menyambut baik peruntukan RM50 juta untuk pengambilan dan memberi kemahiran kepada 8,000 kakitangan syarikat penerbangan, bagaimanapun berpendapat sokongan terhadap pekerja yang diberhentikan itu haruslah komprehensif, inklusif dan diperluas kepada pekerja yang terjejas di seluruh industri pelancongan.

Tan juga mengulangi saranan persatuan kepada kerajaan supaya menilai semula dan memberikan sokongan yang jauh lebih baik kepada industri pelancongan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )