Belanjawan 2021, keputusan OPR dijangka pengaruhi pergerakan ringgit minggu depan

Belanjawan 2021, keputusan OPR dijangka pengaruhi pergerakan ringgit minggu depan

KUALA LUMPUR,. Keputusan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia pada 3 Nov dan pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov dijangka menjadi pemangkin bagi pergerakan ringgit berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada minggu depan.

Penganalisis Pasaran FTXM Han Tan berkata selain itu, senario semasa politik tempatan yang tidak menentu juga akan menambah risiko yang boleh menjejaskan prestasi mata wang tempatan itu.

Bagaimanapun, katanya, pergerakan dolar AS/ringgit akan dipacu terutamanya oleh faktor-faktor luar.

“Bagi minggu akan datang, peningkatan pengelakan risiko akan menyaksikan dolarAS/ringgit menguji paras ketahanan 4.1707, dengan paras ketahanan kukuh sekitar paras psikologi 4.20,” katanya.

Sementara itu Ketua Pakar Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata daripada perspektif Asia kemenangan calon Demokrat Joe Biden dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada 3 Nov depan akan dianggap sebagai lebih positif berbanding penyandang sekarang Donald Trump.

Menurutnya, ramai peniaga yang akan memilih sehingga pilihan raya AS selesai sebelum membeli semula ringgit kerana isu pilihan raya itu masih kekal menjadi kebimbangan utama.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, pengumuman data eksport Malaysia yang positif bagi September telah membantu ringgit menjadi mata wang mencatatkan prestasi terbaik Asia pada hari itu.

Bagaimanapun, indeks dolar AS meningkat lebih satu peratus apabila minat risiko global menyusut di tengah-tengah lonjakan semula kes jangkitan COVID-19 di ekonomi-ekonomi utama, manakala harapan terhadap pakej rangsangan fiskal AS mula menurun.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit turun berbanding dolar AS kepada 4.1530/1570 daripada 4.1500/1600 pada minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan itu diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0427/0468 daripada 3.0593/0678 pada Jumaat minggu sebelumnya tetapi susut berbanding yen kepada 3.9757/9814 daripada 3.9664/9771.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3806/3866 daripada 5.4286/4434 dan meningkat berbanding euro kepada 4.8470/8529 daripada 4.9153/9288.

Pasaran ditutup pada Khamis sempena cuti umum Maulidur Rasul.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )