Belanjawan 2021: Kerajaan disaran perluas pemberian komputer riba kepada pelajar golongan B40

KUALA LUMPUR,. Kerajaan disaran memperluaskan pemberian komputer riba menerusi Tabung Cerdik kepada lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan Huat Hock.

Tan berkata ia bagi membolehkan akses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian kepada pelajar dapat dilaksanakan secara berkesan ketika negara masih diserang pandemik COVID-19 yang menyebabkan penutupan sementara kebanyakan sekolah di negara ini.

“Kita perlu lihat secara keseluruhan, terdapat kira-kira lima juta pelajar di seluruh negara. Jadi kalau 150 ribu murid di 500 sekolah sahaja yang menerima komputer riba, itu satu jumlah yang agak kecil.

“Kita harap kerajaan dapat mencari kaedah lain untuk membolehkan akses kepada lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah berupaya memiliki gajet itu untuk kegunaan PdP,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Tan berkata tinjauan NUTP mendapati 36 peratus pelajar tidak mempunyai peranti untuk menjalani PdP dalam talian.

Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 Nov lepas oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan mengumumkan sumbangan sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung Cerdik oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi pemberian komputer riba kepada 150 ribu murid di 500 sekolah sebagai projek rintis yang akan diselia Yayasan Hasanah.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata penularan virus COVID-19 turut memberi kesan kepada pendapatan universiti secara umumnya.

“Walaupun pelajar dibenarkan mendaftar di universiti masing-masing dan menjalani pembelajaran dalam talian tetapi kemasukan mereka ke asrama berkurang. Pendapatan daripada yuran asrama memang berkurang dan ini turut menjejaskan pendapatan universiti itu sendiri.

“Jika kerajaan berhasrat meneruskan untuk mengurangkan perbelanjaan mengurus menerusi Belanjawan 2021, mungkin keadaan universiti akan menjadi semakin parah,” katanya selain menambah pihak universiti harus mencari jalan bagi menjana pendapatan untuk menampung perbelanjaan operasinya.

Turut senada, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata kebanyakan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini tidak dapat menjana pendapatan berikutan penularan virus COVID-19.

“Kebanyakan pendapatan institusi pengajian tinggi awam dan swasta ini bergantung kepada kemasukan pelajar antarabangsa. Pada masa ini, pelajar baru dan pelajar semasa tidak dapat menghadiri kelas seperti biasa dan ini menyebabkan kewangan institusi semakin merosot,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )