Belanjawan 2021 terbuka untuk dibahas – Takiyuddin

ALOR SETAR, 8 Nov — Pihak kerajaan atau pembangkang bebas untuk membahaskan Belanjawan 2021 di Parlimen, jika mempunyai sebarang pertikaian mengenainya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata tempoh selama lapan hari diperuntukkan kepada Ahli-Ahli Parlimen membahaskan inti pati Belanjawan 2021 di peringkat dasar manakala 11 hari lagi untuk perbahasan di peringkat jawatankuasa.

“Jadi sampai 15 Dis ini, Ahli-Ahli Parlimen bebas untuk membahaskan belanjawan ini,” katanya kepada pemberita selepas bertemu Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan peruntukan sebanyak RM81 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang disifatkan sebagai satu pembaziran.

Katanya bagaimanapun, Belanjawan 2021 dilihat sebagai satu belanjawan yang ‘luar biasa,’ sesuai dengan norma baharu dan perlu diterima oleh semua pihak.

Setiausaha Agung PAS itu berkata tidak ada sebab untuk mana-mana pihak menolak Belanjawan 2021 kerana apa yang terkandung di dalamnya tidak boleh sama sekali dibandingkan dengan belanjawan sebelum ini.

“Bajet ini tidak boleh dibanding dengan bajet waktu biasa (sebelum pandemik) kerana sekarang keutamaan kerajaan bukan sahaja kepada hidup tapi kehidupan, ia melibatkan ekonomi dan sebagainya, jadi banyak yang berbentuk bantuan dan memang kita tak harap dapat pulangan daripadanya,” kata beliau.

Semalam, Angkatan Muda Keadilan Sabah meluahkan rasa terkilan apabila JASA diwujudkan semula dengan pemberian peruntukan sehingga 270 peratus lebih daripada peruntukan dahulu di era pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin dilaporkan berkata peruntukan kepada JASA itu dilihat sebagai satu pembaziran ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan bahawa setakat ini, tiada penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok.

Beliau berkata pihaknya sudah merujuk perkara itu kepada Majlis Keselamatan Negeri namun masih belum mendapat arahan sama ada tempoh atau hari persidangan perlu dipendekkan atau sebaliknya namun prosedur operasi standard (SOP) seperti mengehadkan kehadiran akan dipatuhi seperti sebelum ini.

Sidang DUN Kedah, yang akan menyaksikan pembentangan Belanjawan Negeri 2021, dijadual bermula dari 15 hingga 19 Nov ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )