Belanjawan: pemain industri pelancongan Langkawi harap dana khas promosi

Belanjawan: pemain industri pelancongan Langkawi harap dana khas promosi

LANGKAWI,. Sasaran lima juta pelancong ke pulau peranginan bebas cukai ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, memerlukan promosi diadakan secara besar-besaran, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) Zainudin Kadir.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan disaran menambah peruntukan dana sektor pelancongan khusus buat Langkawi, bagi merancakkan usaha promosi oleh penggiat dan pemain industri di dalam dan luar negara.

“Harapan daripada kami penggiat serta pemain industri pelancongan di pulau ini pada pengumuman Belanjawan 2020 nanti, akan turut mengambil kira keperluan untuk mengadakan promosi secara besar-besaran, untuk mencapai sasaran lima juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Ketika ini penggiat serta pemain industri pelancongan membuat promosi menggunakan dana sendiri, jadi perkara tersebut dilihat kadangkala menghadkan usaha menarik pelancong, kita nak pengunjung datang ke pulau ini secara berterusan, jadi hebahan mengenai pulau peranginan bebas cukai ini perlu dibuat secara konsisten,” katanya kepada Bernama.

Senada dengan LTA, Pengurus Adya Hotel Cenang Wan Mohammad Fadzil Wan Kamaruzaman berkata, sebagai antara penyumbang utama pendapatan kepada negara, promosi sektor pelancongan khususnya Langkawi perlu diadakan secara konsisten.

“Sekiranya dana pelancongan dinaikkan lebih tinggi, usaha promosi dapat dilaksanakan dengan lebih baik, menerusi penyertaan penggiat dan pemain industri dari Langkawi, pada pameran perdagangan pelancongan utama dunia,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )