Belia TVET Pertanian memainkan peranan penting dalam memacu keterjaminan agromakanan negara

Belia TVET Pertanian memainkan peranan penting dalam memacu keterjaminan agromakanan negara

KEPALA BATAS,. Pemerkasaan modal insan dalam sektor agromakanan terutamanya dikalangan belia penting untuk pembangunan jangka panjang, selain mampu meningkatkan produktiviti dan kecekapan industri, serta menjana hasil dan pendapatan yang tinggi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berperanan untuk mentransformasi sektor pertanian ke arah yang lebih moden, dinamik dan kompetitif dengan melatih tenaga kerja berkemahiran sebagai pengusaha pertanian bertaraf komersil dan berskala besar melalui program persijilan latihan pertanian yang disediakan.

“Pelaksanaan program-program latihan yang berkualiti oleh Pusat Bertauliah KPKM mampu melahirkan graduan yang berdaya saing untuk menghadapi cabaran dalam industri agromakanan negara dan seterusnya membangunkan sektor agromakanan berteraskan Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0),” katanya ketika merasmikan sesi Town Hall bersama Pelajar Institut Pertanian Zon Utara diadakan di Institut Pertanian Bumbung Lima, pada Jumaat.

Jelasnya lagi, TVET Pertanian yang merangkumi Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK), Sijil Pertanian, Sijil Veterinar Malaysia, dan Sijil Perikanan dibawah KPKM adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan iaitu makan minum, penginapan dan yuran pengajian.

Kata Arthur, para pelatih turut diberikan elaun setiap bulan sebanyak RM250 (Diploma Kemahiran Malaysia), RM200 bagi sijil dan elaun Latihan Industri sebanyak RM300 sebulan.

“Secara umumnya, Pusat Bertauliah KPKM mencatatkan peningkatan dalam aspek kebolehpasaran graduan.

“Pada 2022, kadar kebolehpasaran graduan Pusat Bertauliah KPKM adalah sebanyak 72.3 peratus berbanding 67.1 peratus pada 2018,” katanya.

Beliau memberitahu, selaras dengan keperluan semasa tenaga kerja sektor pertanian dan agromakanan, KPKM komited untuk mengadaptasi teknologi pertanian terkini dalam proses pengajaran dan pembelajaran di Pusat Bertauliah KPKM.

Bagi 2024, KPKM telah meluluskan peruntukan sebanyak RM26.3 juta untuk penyelenggaraan infrastruktur di Pusat Bertauliah KPKM bagi menyediakan prasarana lengkap dan baik untuk para pelatih merangkumi 14 program pembangunan yang terlibat di seluruh negara.

Arthur percaya usaha ini akan dapat memastikan graduan daripada Pusat Bertauliah KPKM mempunyai ilmu yang terkini dan boleh digunakan dalam memajukan sektor pertanian negara disamping dapat memenuhi keperluan semasa tenaga kerja mahir di dalam negara.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPKM Datuk Lokman Hakim Ali, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Datuk Azah Hanim Ahmad dan 200 pelatih dari Pusat-pusat Bertauliah di Zon Utara iaitu MADA Rice Training Centre (MRTC), Kolej Pertanian Malaysia Bukit Tangga (KPM), Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (KPSN), Institut Pertanian Titi Gantong (IPTG) dan Institut Pertanian Bumbong Lima (IPBL).

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )