Bernama perlu jadi jenama berita nombor satu Asia – Pengerusi Bernama

Bernama perlu jadi jenama berita nombor satu Asia – Pengerusi Bernama

KUALA LUMPUR, 8 April — Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) mampu mengorak langkah menjadi sebuah jenama berita nombor satu di Asia Tenggara, berbekalkan kekuatan dan kelebihan sedia ada yang dimiliki setiap warga kerjanya.

Pengerusi Bernama yang baharu, Suhaimi Sulaiman berkata, untuk mencapai hasrat itu, agensi berita tunggal negara itu perlu bijak membina kreativiti, untuk kekal relevan bukan sahaja di dalam negara malah ke peringkat dunia.

“Sepanjang enam bulan sebagai konsultan di Bernama ini, saya melihat kita mempunyai kemampuan itu. Bernama juga sudah ada korespondan sendiri di luar negara, jadi mengapa membataskannya sekadar untuk dalam negara sahaja,” katanya ketika ditemu bual secara langsung di Bernama Radio menerusi aplikasi Skype.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah hari ini mengumumkan pelantikan Suhaimi, sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Bernama bagi tempoh setahun. Suhaimi menggantikan tokoh media Datuk Seri Azman Ujang, yang tamat tempoh perkhidmatan.

Suhaimi, 57, yang turut dikenali sebagai personaliti penyiaran dan pakar strategi media tanah air berkata, Bernama perlu bergerak seiring dengan kecanggihan teknologi tanpa sempadan untuk kekal relevan sebagai agensi yang menyampaikan informasi sesuai dengan keinginan pengguna.

Beliau berkata Bernama perlu lebih terbuka dan sentiasa belajar, untuk menginovasikan pendekatan yang digunakan dalam menyampaikan maklumat, menerusi setiap platform perkhidmatannya.

Suhaimi berharap agar seluruh warga Bernama meneruskan dengan semangat yang sentiasa komited dalam kerjaya, dan menjadi agensi media yang dihormati pelanggan, kerana kredibiliti dan integriti kewartawanan yang sentiasa dipraktikkan semasa bertugas.

“Kita kena fokus kepada tiga aspek utama iaitu; kita memberi maklumat, mendidik dan menghibur masyarakat. Dalam masa sama, kita kena pastikan apa yang kita sampaikan itu, mestilah apa yang mahu diketahui dan dengari,” katanya yang berpengalaman selama 30 tahun, dalam dunia kewartawanan itu.

Mendapat pendidikan awal di Kolej Melayu Kuala Kangsar, di Perak, Suhaimi kemudiannya melanjutkan pengajian tinggi di Amerika Syarikat.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari City University, Bellevue, Washington dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Portland State University, Portland di Oregon.

Suhaimi memulakan kerjaya sebagai pegawai bank korporat dan runcit di Bank of Commerce pada 1988 hingga 1990.

Beliau kemudiannya menyertai saluran televisyen swasta pertama negara, TV3 bermula 1990 dan mula mencipta nama dalam bidang kewartawanan penyiaran negara. Jawatan terakhir beliau di TV3 ialah Pengurus Berita dan Hal Ehwal Semasa sebelum meninggalkan TV3 pada 2003.

Pada 2007, Suhaimi menyertai saluran berita 24 jam pertama Malaysia, Astro Awani sebagai Penerbit Eksekutif dan menjawat pelbagai jawatan di organisasi berita berkenaan, dengan jawatan terakhirnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang Astro Awani.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )