BERNAMA, Xinhua meterai perjanjian membaharui kerjasama pertukaran berita

BERNAMA, Xinhua meterai perjanjian membaharui kerjasama pertukaran berita

KUALA LUMPUR,. Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Agensi Berita China Xinhua (Xinhua) pada Isnin mengukuhkan kerjasama dengan memperbaharui Kerjasama dan Perjanjian Pertukaran Berita.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pengarang BERNAMA (yang juga menanggung tugas Ketua Pegawai Eksekutif) Nur-ul Afida Kamaludin dan Pengarah Biro Wilayah Asia-Pasifik Xinhua Wang Jinfu di ibu pejabat BERNAMA, Wisma BERNAMA, di sini.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Kedutaan China di Malaysia Zheng Xuefang.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin, Pengerusi BERNAMA Datuk Seri Wong Chun Wai dan Naib Presiden Xinhua Zhu Haili.

Wong dalam ucapannya berkata pembaharuan perjanjian itu selari dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang bakal disambut bulan depan.

“Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan untuk kerjasama itu. BERNAMA sangat menghargai sokongan ikhlas Xinhua dan kami sungguh tidak sabar untuk melakar kejayaan yang berterusan daripada perkongsian ini,” kata beliau.

Sementara itu, Wang berkata Xinhua bersedia untuk memperkukuh komunikasi dengan profesional media Malaysia melalui platform dua hala dan pelbagai hala, meningkatkan persefahaman dan mempromosikan kerjasama yang lebih mendalam.

“Saya yakin kerjasama antara Xinhua, BERNAMA dan media lain di Malaysia akan terus mencapai kemajuan baharu. Kami mengalu-alukan anda semua untuk melawat Xinhua,” katanya.

Kerjasama BERNAMA dan Xinhua dalam pertukaran berita bermula pada 14 Dis 1985 menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) di Kuala Lumpur.

Sejak itu, kerjasama antara kedua-dua agensi berita ini terus berkembang, menyediakan liputan seimbang dan adil mengenai berita antarabangsa tentang perkembangan yang berlaku bukan sahaja di Malaysia dan China bahkan di seluruh dunia.

Pembaharuan perjanjian antara BERNAMA dan Xinhua itu menandakan satu lagi kejayaan penting bagi kedua-dua pihak kerana ia akan membuka pintu untuk lebih banyak pertukaran kandungan berkualiti bagi memenuhi landskap media yang sentiasa berubah di era digitalisasi dan kecerdasan buatan.

BERNAMA yang menyediakan kandungan berita sejak penubuhannya pada tahun 1967 mengikut Akta BERNAMA, perkhidmatan agensi berita itu kini telah berkembang daripada sekadar perkhidmatan berita wayar dan gambar kepada kandungan penyiaran melalui BERNAMA TV dan BERNAMA Radio serta media digital.

Kehadiran BERNAMA di platform media sosial termasuk di Facebook, X, Instagram, TikTok, YouTube dan Threads juga semakin meluas dan kukuh.

BERNAMA kini menyalurkan berita melalui perkhidmatan wayar dalam enam bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Tamil, Arab dan Sepanyol.

Xinhua, sebuah institusi peringkat kementerian yang ditubuhkan pada tahun 1931 merupakan organisasi media terbesar di China.

Secara puratanya, agensi berita itu mengeluarkan kira-kira 15,000 penerbitan media setiap hari dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Cina, Inggeris, Perancis, Sepanyol, Rusia, Arab, Jepun, Korea, Jerman, Portugal dan Bahasa Mongolia Cyrillic.

Xinhua mempunyai 181 biro di seluruh dunia dengan biro di Malaysia ketika ini diketuai oleh Mao Pengfei.

Pembaharuan perjanjian itu juga amat bermakna kerana ia bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China tahun depan.

Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-10 penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif antara Malaysia dan China.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)