Bersatu tubuh ‘task force’ banjir, jangka penyertaan lebih 1,000 sukarelawan

Bersatu tubuh ‘task force’ banjir, jangka penyertaan lebih 1,000 sukarelawan

KUALA LUMPUR,. Seramai 1,650 sukarelawan dijangka terlibat dalam ‘task force’ bantuan banjir yang akan digerakkan serta merta ke seluruh negara bagi membantu mangsa banjir, kata Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata ‘task force’ ditubuhkan parti itu dengan kerjasama agensi berkaitan serta pemimpin tempatan supaya skop bantuan tidak bertindih antara satu sama lain serta dapat diuruskan dengan baik.

“Kehadiran sukarelawan ini kelak akan menjadi jambatan penghubung bantuan dan meringankan beban saudara-saudara kita yang sedang dilanda musibah banjir.

“Saya yakin, jika kita semua ikhlas dalam menghulurkan bantuan ini, ia dapat memberikan sedikit kelegaan dan mengubat kedukaan mangsa,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Selain itu, Ahmad Faizal menyeru semua peringkat kepimpinan Bersatu untuk berusaha dan memberikan perhatian sepenuhnya kepada aspek bantuan banjir kepada mangsa yang terlibat.

Ketika ini, negeri yang terjejas akibat banjir adalah Johor, Pahang, Perak, Selangor, Kelantan dan Terengganu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )