Bersiap untuk perubahan iklim, bukan peperangan – Mahathir
NEW YORK,. Tun Dr Mahathir Mohamad berkata komuniti antarabangsa perlu memberi perhatian terhadap fenomena perubahan iklim dan bencana alam yang banyak dipengaruhi oleh aktiviti manusia daripada membuat persediaan untuk berperang.
“Kita perlu membuat persediaan untuk memerangi perubahan iklim, untuk mengembalikan persekitaran normal yang dinikmati sejak ribuan tahun lalu,” kata Perdana Menteri Malaysia.
Dalam pernyataannya pada Perbahasan Umum Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini pada Jumaat, Dr Mahathir berkata negara-negara juga harus membuat persediaan berdepan dengan gempa bumi besar, taufan dan ribut taufan, banjir dan kejadian tanah runtuh.
“Kita perlu belajar bagaimana untuk mengurangkan bencana alam ini. Kita perlu membina tempat perlindungan, membuat hujan buatan dan menghasilkan makanan tanpa cahaya matahari, berpindah ke tepi laut dan sebagainya,” katanya.
Pemimpin Malaysia itu menegaskan bahawa pasukan pakar bencana yang serba lengkap harus sentiasa bersiap siaga untuk bergegas ke kawasan bencana dengan menekankan bahawa setiap bencana adalah bencana dunia.
“Sudah tentu semua bencana alam itu mungkin tidak berlaku, tetapi kita tidak boleh bergantung kepada itu. Kita membazirkan wang untuk mempersiapkan untuk berperang, mencipta lebih banyak pemusnah apabila semua boleh dilenyapkan oleh bencana alam ketika planet ini melalui kitaran seterusnya,” katanya.
Beliau berkata manusia adalah mahkluk yang cerdik dan mampu bertahan dalam kitaran perubahan iklim seterusnya jika mereka mampu melahirkan penyelidik yang dapat menghasilkan sistem pertahanan terhadap bencana.
“Jika kita mengurangkan belanjawan kita untuk membunuh orang, kita akan mempunyai dana untuk penyelidikan dan persediaan,” katanya.
— BERNAMA