BigPay lancar kemudahan pinjaman peribadi digital

BigPay lancar kemudahan pinjaman peribadi digital

KUALA LUMPUR: Syarikat modal teroka Capital A Bhd, BigPay melancarkan kemudahan pinjaman peribadi pertamanya sebagai sebahagian daripada tawaran pembiayaannya di Malaysia. Produk tersebut dilancarkan di bawah BigPay Later Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh dalam kumpulan BigPay dan pemegang lesen pinjaman wang digital.

Produk itu buat masa ini ditawarkan kepada pengguna terpilih dan akan dilancarkan secara berperingkat kepada lebih ramai orang.

Ketua Pegawai Eksekutif BigPay dan Pengasas Bersama, Salim Dhanani berkata pelancaran produk pinjaman peribadi berkenaan membawa syarikat teknologi kewangan itu selangkah ke hadapan untuk merapatkan jurang kewangan.

“Masih ada rakyat Malaysia tidak mendapat kemudahan kredit seperti ini kerana mereka perlu mempunyai rekod kredit yang boleh diterima yang diperlukan oleh bank, ia secara langsung memberi kesan kepada keupayaan untuk membina kedudukan kewangan dalam tempoh jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata BigPay mempunyai keupayaan untuk memanfaatkan pangkalan datanya yang luas dan pelanggan setia kepada jenamanya.
”BigPay berkongsi etos dan prinsip yang sama seperti Capital A dan AirAsia iaitu memberi perhatian kepada kemampuan, kebolehcapaian serta keterangkuman,” katanya.

Pinjaman peribadi yang ditawarkan bersama kadar faedah lebih rendah berbanding dengan kadar kad kredit standard dan lebih mudah untuk memohon kerana ia melalui proses digital.
Pengguna juga boleh mendapat maklumat serta merta menggunakan kalkulator pinjaman dalam aplikasi tersebut untuk memastikan kemampuan dan permohonan mereka boleh diluluskan dalam tempoh beberapa minit.

Produk peribadi itu dikawal selia sepenuhnya oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Ia boleh didapati di aplikasi BigPay, papan pemuka aplikasi itu menampilkan jadual pembayaran balik yang telus dan pilihan pembayaran automatik untuk mengelakkan kelewatan pembayaran balik oleh pengguna.

BigPay menawarkan pelbagai produk kewangan terkawal termasuk akaun e-wang, kiriman wang antarabangsa, insurans mikro dan belanjawan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)