
Billie Eilish & Timothee Chalamet pengerusi bersama Met Gala
ACARA peragaan fesyen berprestij Met Gala yang dipenuhi dengan para bintang di New York akan menumpukan kepada belia dan kepelbagaian pada tahun ini, bersama dengan empat orang pengerusi bersama di bawah usia 30 tahun – pelakon Timothee Chalamet, penyair Amanda Gorman, penyanyi Billie Eilish dan pemain tenis Naomi Osaka.
Biasanya diadakan pada awal Mei, majlis amal itu ditangguhkan kepada 13 September dengan harapan bahawa banyak dari sekatan Covid-19 akan ditarik balik pada masa tersebut. Edisi 2020 telah dibatalkan disebabkan oleh pandemik.
Pengerusi kehormat adalah Anna Wintour, ketua pengarang bagi Vogue yang telah mengubah gala tersebut kepada satu acara global, pereka Tom Ford dan Adam Mosseri, pengarah Instagram, penaja acara berkenaan.
Metropolitan Museum of Art’s Costume Institute bergantung kepada Met Gala bagi membiayai kerja-kerjanya termasuk pameran dan pemerolehan, dan pembatalan acara pada tahun lepas telah menjejaskan kewangannya dengan sangat teruk.
Sering muncul untuk karpet merah, seorang pelakon Perancis-Amerika Timothee Chalamet, 25, mempunyai satu reputasi untuk pakaian bergaya, memakai sut dengan corak bunga dari Alexander McQueen, dan ketika Anugerah Golden Globe pada 2019 beliau memakai sepasang abah-abah Louis Vuitton yang berge-merlapan.
Amanda Gorman, 23, menjadi sensasi dunia selepas mende-klamasikan sajaknya ‘The Hill We Climb’, berinspirasikan serangan 6 Januari di Capitol AS, semasa pelantikan Presiden Joe Biden. Gorman, warga Afrika-Amerika, kemudiannya menjadi penyajak pertama untuk membuat persembahan di Super Bowl, tayangan paling banyak tontonan Amerika tahun itu.
Lebih dikenali dengan stail kasual, termasuk baju T besarnya, penyanyi Billie Eilish, 19, baru-baru ini muncul dalam British Vogue dengan pakaian dalam ketat. “Menunjukkan badan dan menayangkan kulit kamu, atau tidak, tidak boleh merampas penghormatan daripada kamu,” katanya dalam majalah tersebut.
Naomi Osaka, 23, pemain tenis nombor dua dunia, juga mengorak langkah dalam dunia fesyen, menjadi duta Louis Vuitton. Osaka, yang mempunyai ibu warga Jepun dan ayah warga Haiti, juga berkolaborasi dalam reka cipta beg dan pakaian renang.
Met Gala diadakan dalam dua peringkat, dengan resepsi pertama pada 13 September dan sekali lagi pada 2 Mei 2022.
— Agensi