Bimbang serangan ke atas kawasan diplomatik, AS sedia tutup kedutaan
KAHERAH, 28 Sept — Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk menutup kedutaannya di Zon Hijau Baghdad, lokasi di mana serangan roket sering berlaku, agensi berita Sputnik memetik laporan media.
“Apa yang telah dimaklumkan kepada kami ialah penutupan kedutaan secara bertahap selama dua hingga tiga bulan,” seorang pegawai Iraq memberitahu The Wall Street Journal pada Ahad, menambah penutupan itu juga bersekali dengan penarikan pasukan tentera Amerika.
Menurut akhbar itu, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo menyampaikan amaran mengenai kemungkinan penutupan kedutaan dalam satu panggilan baru-baru ini kepada Presiden Iraq Barham Salih dan Perdana Menteri Iraq Mustafa al-Kadhimi.
Dua pegawai Iraq memberitahu The Wall Street Journal bahawa Washington telah mengambil langkah awal sehingga ia dapat menutup kedutaan sambil mengekalkan konsulatnya di Erbil, ibu kota Wilayah Kurdistan di utara Iraq.
Al-Arabiya melaporkan, memetik sumber AS di Iraq, diplomat Amerika bimbang kemungkinan serangan terhadap kedutaannya di Baghdad dan kemungkinan dijadikan tebusan. Menurut Al-Arabiya, Pompeo telah memberi Perdana Menteri Iraq tempoh sehingga Isnin untuk memenuhi beberapa syarat, termasuk keputusan tegas pemerintah terhadap serangan berkala di Zon Hijau.
Zon Hijau sesekali diserang roket kerana ia adalah lokasi bangunan kerajaan dan kedutaan asing, yang juga tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, berdekatan dengan lapangan terbang tentera. Sebagai peraturan, kejadian seperti itu tidak mengakibatkan kemalangan dalam kalangan orang awam dan tidak mengakibatkan kerosakan yang besar.
Pada pertengahan Jun, komando bersama angkatan bersenjata Iraq menyatakan Perdana Menteri Mustafa Al-Kadhimi telah memerintahkan penubuhan jawatankuasa khas untuk membendung serangan tersebut.
— BERNAMA