BKM pada 2022 beri manfaat kepada lebih 9.6 juta penerima, peruntukan RM8.2 bilion

KUALA LUMPUR,. Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada tahun ini akan memberi manfaat kepada lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata jumlah ini meningkat daripada 8.6 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM7 bilion di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pada tahun lepas.

“Bagi mengurangkan golongan yang tercicir, data yang berikut akan dibawa secara automatik ke dalam sistem BKM untuk disemak silang kelayakan mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya sempena pendaftaran Bantuan Keluarga Malaysia Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Jalan Duta di sini semalam.

Data itu ialah penerima BPR 2021, penerima Bantuan Khas COVID (BKC) B40 2021 dan pemohon BPR 2021 yang tidak lulus atas alasan menerima Geran Khas Prihatin.

Selain itu, data agensi kerajaan yang lain merangkumi data e-Kasih, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, penghuni Perumahan Awam atau Projek Perumahan Rakyat di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Orang Asli Jabatan Kemajuan Orang Asli, gelandangan berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta DBKL, ibu tunggal berdaftar dengan KPWKM, penerima Skim Insurans Pekerjaan PERKESO dan penerima zakat atau Baitulmal di Lembah Klang.

Tengku Zafrul berkata sehingga 7 Januari lepas, LHDN telah menerima sebanyak 1,429,262 permohonan baharu dan daripada kemas kini BKM.

“Daripada angka ini, sebanyak 355,071 merupakan permohonan baharu manakala 1,124,191 adalah permohonan kemas kini BKM,” katanya.

Beliau berkata tempoh pendaftaran baharu dan kemas kini BKM ialah mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Januari 2022.

Sehingga kini, katanya direkodkan juga hampir 95 peratus daripada permohonan baharu dan kemas kini dibuat secara dalam talian.

“Perkembangan ini sesuatu yang positif kerana ia secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko penularan COVID-19 apabila pemohon tidak perlu keluar dari rumah dan hadir ke kaunter perkhidmatan BKM.

“Kerajaan mahu memastikan bahawa mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerajaan dapat mendaftar dan memohon,” katanya.

Beliau berkata penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat juga berpeluang untuk membuat pengemaskinian.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )