BN P.Pinang sudah serah senarai calon Parlimen, DUN kepada pimpinan pusat

BN P.Pinang sudah serah senarai calon Parlimen, DUN kepada pimpinan pusat

GEORGE TOWN,. Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang sudah menyerahkan senarai nama calon kepada pucuk pimpinan pusat bagi 13 kerusi Parlimen di negeri itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi BN negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Beliau berkata BN negeri turut menghantar senarai calon bagi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada pimpinan pusat berikutan cadangan DAP Pulau Pinang supaya DUN Pulau Pinang dibubarkan serentak dengan Parlimen untuk PRU15.

“Kami juga menunggu keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang sama ada mahu membubarkan DUN bagi mengadakan pilihan raya serentak dengan Parlimen atau sebaliknya, kalau tidak bubar (DUN) fokus jentera kepada Parlimen sahaja,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Pada Selasa, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata DAP Pulau Pinang telah mencadangkan supaya DUN Pulau Pinang dibubarkan dan perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, Musa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, berkata 60 peratus nama calon UMNO yang diserahkan kepada pucuk pimpinan itu merupakan muka baharu.

Pada PRU14, BN Pulau Pinang bertanding di 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen dengan Gerakan di 13 DUN dan empat Parlimen, UMNO (15 DUN, lima Parlimen), MCA (10 DUN, empat Parlimen) manakala MIC di dua DUN.

Pada 23 Jun 2018, Gerakan secara rasmi keluar daripada BN susulan kekalahan gabungan itu dalam PRU14 dan menyertai PN pada Februari tahun lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)