BN Sabah Lebih Kuat Jika Bung, Rahman Gabung Tenaga, Kata Veteran UMNO

PAPAR,. Seorang pemimpin veteran Umno berkata, Barisan Nasional dan Umno Sabah lebih kuat jika Bung Moktar Radin dan Abdul Rahman Dahlan bergabung tenaga untuk menghadiri Pilihan Raya Negeri akan datang.

Abdul Rahim Ismail berkata, isu membantah pelantikan Bung sebagai ketua jentera BN tidak patut timbul disebabkan beliau ialah ketua Umno Sabah dan keputusan itu dibuat pucuk pimpinan parti.

“Sebagai ahli Umno, ini bukan masa untuk bertelagah dan berkelahi memandangkan PRN tidak lama lagi. Sepatutnya pemimpin Umno mengutamakan perpaduan dalam parti,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, sebarang perpecahan akan merugikan parti, lebih-lebih lagi menjelang PRN Sabah.

Oleh itu, beliau menggesa pemimpin dan ahli parti Bung untuk memenangi PRN Sabah pada 26 Sept nanti.

“Bung ini seangkatan tokoh-tokoh Umno lain di Sabah, seperti Musa Aman (bekas ketua menteri Sabah), Hajiji Noor (ketua PPBM Sabah) dan Masidi Manjun (timbalan ketua PPBM Sabah) sejak zaman kegemilangan Usno lagi.

“Kita belajar banyak pengalaman manis dan pahit dalam perjuangan ini, kita juga bersama-sama membawa kegemilangan Umno dan BN sehingga wujud satu pasukan cukup mantap dan berjaya memajukan Sabah seperti diharapkan rakyat serta akar umbi.”

Rahim yang juga antara pengasas parti itu di Sabah berkata, kepimpinan Rahman dalam BN dan Umno Sabah sangat diperlukan kerana beliau ialah pemimpin muda yang sangat menyerlah dan pernah menjadi menteri kanan di peringkat persekutuan.

Beliau menyifatkan Bung dan Rahman ialah gabungan ideal antara profesional dan veteran.

“Ini akan membawa keuntungan kepada Umno. Dalam keadaan sekarang, saya rasa ia merupakan satu cabaran besar kepada Bung, tetapi saya harap mereka akan berkompromi mengikut majoriti kerana 12 bahagian yang membantah itu belum tahu mereka mendapat persetujuan akar umbi atau tidak.”

Rahim ialah bekas ketua Umno Bahagian Papar dan pernah menjadi Adun Pantai Manis selama 4 penggal.

Beliau menyertai PPBM selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dan kembali ke pangkuan Umno 3 bulan kemudian kerana mendakwa PPBM tidak berpegang kepada janji untuk bersikap inklusif.- FMT

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )