BN umum calonnya untuk PRK Tanjung Piai seminggu sebelum hari penamaan calon
KUALA LUMPUR,. Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya untuk pilihan raya kecil parlimen Tanjung Piai sekurang-kurangnya seminggu sebelum hari penamaan calon pada 2 Nov ini.
Setiausaha Aguna UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata kepimpinan BN dalam proses menyenarai pendek senarai calon dari parti-parti komponen.
“Mungkin 26 atau 27 Okt, atau kita tunggu Pakatan Harapan (PH) umumkan calonnya terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Semasa ditanya parti komponen mana yang akan bertanding di kerusi parlimen yang sebelum ini ditandingi oleh parti MCA, Annuar berkata pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membuat keputusan muktamad nanti.
Pilihan raya kecil Tanjung Piai di Johor akan diadakan pada 16 Nov manakala hari penamaan calon ditetapkan para 2 Nov.
PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 Sept lepas, akibat mengalami komplikasi jantung.
Sementara itu, Annuar berkata pihak pembangkang tidak akan membentangkan bajet alternatif pada tahun ini.
“Pembangkang tidak perlu bentang bajet tiap-tiap tahun, tetapi kita cuma bentang dasar tahun lepas dan dasar itu kekal, tetapi jika ada keperluan kita akan bentang tahun depan,” katanya.
Belanjawan 2020 dijadual dibentang di Parlimen esok.
— BERNAMA