BNM: Kebanyakan transaksi penipuan kewangan dalam talian dibuat dengan persetujuan mangsa sendiri

BNM: Kebanyakan transaksi penipuan kewangan dalam talian dibuat dengan persetujuan mangsa sendiri

KUALA LUMPUR,. Kebanyakan kes penipuan kewangan dalam talian didapati berpunca daripada transaksi yang dibuat dengan persetujuan mangsa sendiri akibat manipulasi psikologi dan emosi oleh penjenayah siber, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Pengurus Pejabat Wilayah BNM Kuala Lumpur S. Vijayadurai berkata penjenayah kini semakin canggih dalam memanipulasi mangsa mereka termasuk menggunakan taktik berasaskan ketakutan atau memperdaya mereka melalui penipuan cinta.

“Sesetengah mangsa diberitahu mereka terlibat dalam kes dadah atau langgar lari, manakala sesetengah penipu malah menyamar sebagai individu yang mahu menjalinkan hubungan romantik dengan mangsa,” katanya sebagai tetamu di program “POV: Perspektif Bukan Persepsi Bersama Kamal Affandi Hashim” Bernama Radio hari ini.

Vijayadurai menambah bahawa taktik sedemikian menyebabkan mangsa rela melakukan transaksi, sering tidak menyedari bahawa mereka ditipu.

Selain itu, penjenayah juga didapati menggunakan teknologi, seperti spoofing, untuk mengakses aplikasi dalam telefon pintar mangsa dan kecerdasan buatan (AI) untuk meniru suara mereka.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan pendekatan 3S iaitu mempersoalkan (soal) kesahihan maklumat yang diterima; menahan diri (sekat) daripada mengikut arahan yang diberikan; dan berkongsi (sebar) maklumat yang betul dengan keluarga dan rakan-rakan.

Beliau berkata BNM menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk Pusat Anti Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC), Polis Diraja Malaysia, (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), industri perbankan dan industri telekomunikasi, melalui penubuhan Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) bagi menyelaras tindak balas terhadap kes penipuan.

Mangsa penipuan, tambahnya, mesti segera melaporkan kepada NSRC dengan menghubungi 997, selain membuat laporan polis untuk memudahkan tindakan selanjutnya.

“Kebiasaannya, wang yang diambil oleh penipu akan diterima melalui akaun keldai, yang digunakan oleh pihak ketiga dan kemudian digunakan untuk tujuan haram.

“Peluang untuk mendapatkan semula dana yang dicuri bergantung kepada seberapa pantas mangsa membuat laporan. Kita mesti sedar bahawa penipu akan memindahkan wang dari akaun keldai ke beberapa lapisan akaun dengan pantas,” katanya.

–Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This