Boko Haram bunuh 11 petani di Nigeria

Boko Haram bunuh 11 petani di Nigeria

Anggota militan mengelar leher mangsa dan menculik beberapa orang lagi

KANO: Anggota militan membunuh sekurang-kurangnya 11 petani dan ramai lagi hilang selepas serangan ke atas beberapa sawah padi di timur laut Negeri Borno di Nigeria, kata militia antipelampau dan penduduk kelmarin.

Petani sering disasar oleh militan yang melancarkan konflik selama 14 tahun di timur laut Nigeria, di mana 40,000 orang maut dan lebih dua juta kehilangan tempat tinggal sejak 2009.

Anggota militan Boko Haram yang disyaki menyerbu sawah padi di daerah Zabarmari di luar ibu negeri wilayah Maiduguri pada lewat Ahad lepas, menangkap petani dan mengelar leher mereka ketika menculik beberapa orang lagi, sumber memberitahu AFP.

Petani tersebut telah bermalam di sawah mereka di kampung Karkut untuk menjaga padi yang dituai daripada dirompak sebelum membawanya pulang ke rumah pada keesokan pagi.

“Setakat ini kami telah menemui 11 mayat… kesemua mereka dibunuh oleh Boko Haram,” kata ketua militia antipelampau, Babakura Kolo.

“Pengganas telah membuang mayat petani ke dalam longkang dan menculik beberapa orang yang tidak diketahui jumlahnya,” kata Kolo.

Empat petani yang terselamat dalam serangan itu dengan luka parah pada leher telah dibawa ke hospital di Maiduguri, kata ketua militia kedua. Umar Ari.

“Kami sedang memeriksa sawah padi lain di beberapa komuniti berhampiran untuk mencari lebih banyak mayat kerana ramai orang yang masih hilang,” jelas Ari.

“Pengganas menculik beberapa petani dan terdapat kebimbangan mengenai nasib mereka,” tambahnya.

Mayat 11 petani itu sudah dibawa ke masjid utama di Zabarmari untuk pengebumian, kata seorang penduduk, Bello Muhammad.

Boko Haram dan seterunya yang dikaitkan dengan Daesh (IS), Negeri Islam Wilayah Afrika Barat (ISWAP), telah semakin kerap menyasarkan petani, pembalak, penternak dan nelayan yang dituduh mengintip dan memberikan maklumat kepada pasukan tentera dan militia yang menentang mereka.

Pada 2020, Boko Haram membunuh 76 petani dari Zabarmari di kampung berhampiran Koshobe – pembunuhan beramai-ramai yang menetapkan standard baharu kekejaman.

— Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )