Bola ditendang, Uighur tertekan, Ozil bersuara, Toure suruh diam sahaja

Bola ditendang, Uighur tertekan, Ozil bersuara, Toure suruh diam sahaja

LONDON,. Berbeza dengan beberapa pemimpin dunia yang senyap tidak bersuara membantah isu penahanan warga Uighur beragama Islam di Xinjiang, pemain bola sepak pula yang lebih lantang bersuara.

Nasib warga Islam Xinjiang yang terlalu sensitif untuk perbincangan terbuka dalam kalangan pemimpin dunia kini menarik perhatian pemain bola sepak antarabangsa – ada yang mengutuk tindakan penindasan itu, ada pula yang suruh berdiam sahaja.

Mesut Ozil dan Yaya Toure adalah dua pemain bola sepak yang tidak asing lagi dalam kalangan peminat Liga Perdana Inggeris (Premier League). Ozil warga Jerman dan mempunyai asal-usul Turki manakala Yaya Toure pula warga Ivory Coast tetapi lebih melakar nama di Eropah – kedua-dua beragama Islam.

Seorang lantang bersuara membela nasib yang ditimpa warga Uighur di Xinjiang sementara seorang lagi berpendirian lebih baik diam.

Minggu lepas Mesut Ozil menegur sikap tidak peduli dunia secara amnya – dan umat Islam secara khusus; sementara warga Islam etnik Uighur di Xinjiang ditindas pemerintah.

Ozil menulis dalam laman media sosialnya; “Quran dibakar, masjid di tutup, sekolah agama Islam dan madrasah diharamkan, pendakwah dibunuh. Namun, orang Islam berdiam sahaja.”

Kenyataannya mengundang tindak balas dari China yang mengutuk apa yang disifat sebagai campur tangan dalam hal dalam negara.

Kelab Ozil – Arsenal, juga terpalit apabilanya China membatalkan penyiaran permainan kelab itu serta menggerakkan kutukan meluas kalangan peminat The Gunners di China.


Tidak lama selepas itu, suara Yaya Toure pula kedengaran membidas tindakan Ozil. Toure, bekas pemain Manchester City menyifatkan tindakan Ozil tidak sesuai dan tidak sepatutnya disuarakan oleh ahli sukan.

Yaya merupakan adik kandung seorang lagi pemain Man City Kolo Toure – mereka pernah beraksi bersama bermain untuk pasukan kebangsaan Cote D’Ivoire.

Selepas berhijrah dari Man City pada tahun 2018, Toure bermain untuk kelab bola sepak Divisyen Satu China Qindao Huanghai dan ini sedikit sebanyak membentuk pendiriannya terhadap isu yang dikira mengaibkan negara yang kini menjadi tempat mencari rezeki.

Ahli sukan jarang-jarang keluar dari zon selesa masing-masing untuk mengetengahkan pendirian mereka tentang isu politik mahupun kemanusiaan.

Sebagai pemain profesional, mereka terikat dengan kontrak yang lumayan dengan pemilik kelab yang selalunya terdiri daripada ahli perniagaan.

Kalangan ahli perniagaan pula, sekiranya mereka beroperasi di negara-negara yang ‘sensitif’ dari segi menegakkan hak kemanusiaan, sudah tentu mereka terpaksa ikut rentak kerajaan yang memegang kuasa.

Bagi negeri China, protes di Hong Kong dan kewujudan kem penempatan warga Uighur di Xinjiang menimbulkan reaksi bantahan satu dunia.

Pasukan bola keranjang National Basketball Association (NBA) Houston Rockets merupakan francais sukan yang pertama merasakan kuasa China yang semakin menekan di pentas politik dan ekonomi dunia.

Ekoran sokongan dan simpati eksekutif Houston Rockets terhadap gerakan menegakkan demokrasi di Hong Kong, China bertindak memutuskan jalinan penyiaran dan pemasaran melibatkan kelab tersebut.

Antara yang menyokong Ozil termasuk Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo dan bekas pengurus Arsenal Arsene Wenger.

Difahamkan, hak penyiaran permainan Liga Perdana Inggeris terkini bernilai lebih dari setengah juta Pound Sterling.

Ada laporan yang tidak dapat pengesahan bahawa beberapa kelab Liga Perdana Inggeris yang mempunyai hubungan komersil dengan entititi korporat China mengeluarkan nasihat pemain mereka yang berugama Islam tidak meniru tindak-tanduk Mesut Ozil.

Ramai pemain beragama Islam kini bermain untuk kelab Liga Perdana Inggeris. Mereka kebanyakannya merupakan imigran generasi kedua setelah ibu bapa mereka berhijrah ke Eropah – terutamanya ke Perancis dan Belgium selepas perang dunia kedua.

Pemain Mesir Mohamad Salah yang kini amat disayangi penyokong Liverpool menjadi satu-satunya pemain yang belum mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong mahupun mengkritik tindakan Ozil.

Adakah Salah, yang lebih popular dengan gelaran ‘Mo’, dan rakan penyerang Saido Mane yang juga beragama Islam akan bersuara selantang Mesut Ozil?

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )