Bomba Perak tempatkan pasukan di empat plaza tol semasa Tahun Baharu Cina

Bomba Perak tempatkan pasukan di empat plaza tol semasa Tahun Baharu Cina

IPOH,. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menempatkan anggota dan jentera di empat plaza tol di negeri ini sepanjang tempoh cuti perayaan Tahun Baharu Cina, tahun ini.

Pengarah JBPM negeri, Sayani Saidon berkata empat plaza tol berkenaan adalah di Plaza Tol Tapah, Kuala Kangsar dan Kamunting di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) serta Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bagi tujuan bersiap siaga sekiranya berlaku sebarang kecemasan di lebuh raya.

“Selain, anggota dan jentera dari balai berhampiran, turut ditempatkan Unit Bermotor Bomba supaya jika ada panggilan kecemasan, anggota dapat bergerak ke lokasi dan beri respons lebih cepat lagi terutama dalam keadaan laluan sesak sewaktu musim perayaan,” katanya selepas majlis pelancaran Kempen Menghapus Bahaya Kebakaran sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di sebuah pusat beli belah di Klebang, dekat sini, pada Isnin.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching.

Terdahulu, Sayani dalam ucapannya berkata sebanyak 66 kes kebakaran direkodkan dengan lapan daripadanya melibatkan bangunan sepanjang Ops Tahun Baharu Cina 2023.

Katanya, dalam aspek penguatkuasaan pula, JBPM Perak telah membuat pemeriksaan bagi tujuan menghapus bahaya kebakaran ke atas 1,862 pelbagai premis seluruh negeri sepanjang tahun lalu.

“Bagi tujuan pengeluaran sijil perakuan bomba, sebanyak 328 premis ditetapkan telah didaftarkan dengan 225 daripadanya berjaya dikeluarkan sijil,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )