Bot karam: Empat nelayan berenang lebih 14 jam

Bot karam: Empat nelayan berenang lebih 14 jam

PASIR PUTEH,. “Kami terpaksa berenang lebih 14 jam,” demikian kata tekong bot Tuan Azhar Tengku Long, 46, iaitu salah seorang daripada empat nelayan yang ditemui selamat selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Pulau Perhentian, Terengganu, petang Jumaat lepas.

Menceritakan detik cemas itu, Tuan Azhar berkata kesemua mereka mengambil keputusan terjun ke laut dengan memakai jaket keselamatan, selepas bot mereka dimasuki air serta karam, susulan dipukul ombak ketinggian antara tiga hingga empat meter pada kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 petang.

“Ketika kejadian kami sedang berusaha untuk menaikkan pukat di kawasan perairan itu, tetapi tiba-tiba tanpa disedari ombak semakin besar sehingga bot semakin ditelenggami air,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tok Bali di sini, kelmarin.

Selain Tuan Azhar, nelayan yang terselamat adalah anaknya, Tuan Azrizal Tuan Azhar, 19, Mohd Azri Mohd Rasdi, 28, yang berada dalam keadaan stabil, manakala, Norizan Yusof, 45, dikejarkan ke Pusat Kesihatan Kuala Besut bagi mendapatkan rawatan kerana kekurangan oksigen, sejurus tiba di jeti berkenaan.

Terdahulu, keempat-empat nelayan yang berasal dari Kelantan itu ditemui di pesisir pantai berhampiran sebuah resort di Pulau Perhentian Besar, kira-kira jam 8.45 pagi kelmarin.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa Saari Saleh, 40, yang berasal dari Terengganu masih belum ditemui dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia, sedang giat melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Menurut Tuan Azhar, keempat-empat mereka berenang menuju semula ke arah Pulau Perhentian, namun Saari pula bertindak meninggalkan kumpulan dan menyelamatkan diri secara bersendirian.

“Setakat ini saya tidak tahu sama ada dia selamat atau sebaliknya,” katanya di samping meluahkan kebimbangan keadaan rakannya yang masih belum ditemui itu.

Sementara itu, ibu Saari, Hurani Awang, 73, berkata akan terus mendoakan serta yakin bahawa anaknya masih selamat, namun beliau juga reda sekiranya mendapat perkhabaran duka.

Dalam kejadian 1 petang Jumaat, bot nelayan yang dinaiki lima nelayan itu karam di perairan Pulau Perhentian akibat dipukul ombak, ketika keadaan laut bergelora dan cuaca hujan lebat.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )