BPN beri nafas baharu kepada petani, penternak di Kelantan
KOTA BHARU,. Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang disediakan kerajaan persekutuan untuk mereka yang terkesan dengan penularan COVID-19, melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) memberi kelegaan kepada petani dan penternak, untuk meneruskan kelangsungan hidup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penternak kambing Mohd Fakirul Aswadi Derahman, 40, dari Kok Lanas di sini berkata, bantuan yang disediakan terutama untuk golongan B40, sekurang-kurangnya dapat membantu meneruskan kelangsungan hidup, untuk menanggung keluarga.
Mohd Fakirul berkata walaupun pelaksanaan PKP sedikit sebanyak menjejaskan aktiviti ekonominya, namun beliau akur, malah memuji keputusan kerajaan yang membuat keputusan pantas, untuk mengekang penularan wabak COVID-19.
“Berikutan pembatalan penjualan kambing, saya terpaksa mengeluarkan modal tambahan untuk membeli dedak kepada kambing, sementara menunggu Perintah Kawalan Pergerakan dibatalkan, sebelum dapat menjual kembali ternakan,” katanya kepada Bernama.
Antara yang disediakan kerajaan adalah bantuan RM1,600 bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah, untuk membantu dalam kelangsungan hidup termasuk golongan petani dan perternak, memandangkan sumber pendapatan mereka terjejas ekoran penularan COVID-19 dan pelaksanaan PKP.
Sementara itu, penanam nanas Sokry Mohamad Noor, 55, dari Kampung Sri Kulim, Melor berkata, PKP memberi kesan kepada pendapatannya.
“Sebagai golongan berpendapatan rendah B40, Pakej PRIHATIN dapat melegakan hati saya, di sebalik keterbatasan untuk mencari nafkah menyara keluarga,” katanya.
Pengusaha jagung dan tebu dari Kampung Tal 7, Pasir Mas, Muhammad Atif Abdullah, 28, pula berkata, dengan bantuan seperti itu, beliau mampu menguruskan keperluan serta menggantikan modal untuk menanam pada musim akan datang, kerana kurang pemborong yang membeli hasil tanaman.
Muhammad Amir Ahmad Faizal, 24, dari Kampung Tendong, Pasir Mas, yang mengusahakan tanaman sawi pula berkata bantuan kerajaan amat diperlukan, untuk menanggung enam orang anggota keluarga kerana tiada pendapatan lain, sepanjang tempoh PKP diumumkan.
“Selepas PKP berkuatkuasa, saya dan isteri terpaksa melakukan kerja sampingan seperti jual kuih dan nasi, untuk dapatkan duit sampingan,” katanya.
Seorang lagi petani, Siti Mashitah Abu Bakar, 45, juga bersyukur pakej PRIHATIN dilihat mampu meringankan beban rakyat sepertinya, untuk meneruskan hidup pada masa yang mencabar ini.
“Sejak PKP berkuat kuasa, rata-rata kami boleh dikatakan tiada pendapatan. Ini memang merunsingkan kerana harga barang keperluan agak mahal, di samping perlu memakai penutup hidung dan mulut, serta cecair pembasmi kuman jika hendak keluar.
“Dalam keadaan sekarang yang memerlukan kita berjmat, saya proses padi untuk dijadikan beras bagi kegunaan keluarga, manakala wang yang ada digunakan untuk membeli barang keperluan manakala duit PRIHATIN disimpan untuk masa hadapan,” katanya.
Difahamkan keluarganya juga menerima keperluan makanan yang disumbangkan oleh penduduk kampung, seperti beras, telur, susu dan biskut.
— BERNAMA