BPN: Hasil Care Line beroperasi semula mulai 30 Mac
CYBERJAYA, 29 Mac — Hasil Care Line (HCL) akan beroperasi semula mulai esok (30 Mac) bagi menjawab pertanyaan berkaitan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan isu-isu percukaian.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, HCL akan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada setiap hari Ahad hingga Jumaat.
Menurutnya, nombor HCL ialah 03-8911 1000 atau +603-8911 1100 bagi mereka yang berada di luar negara.
Selain itu, LHDN memaklumkan talian Bantuan Sara Hidup (BSH) iaitu 1800-88-2747 akan turut beroperasi untuk menjawab sebarang pertanyaan berkenaan BSH.
Tambahnya, sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan isu-isu percukaian dan perkara-perkara berkaitan juga boleh diajukan melalui HASiL Live Chat; borang maklum balas di portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my; dan laman Facebook dan Twitter rasmi LHDN.
Menurut LHDN, pembayar cukai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan urusan percukaian dalam tempoh PKP ini dengan melayari portal rasmi LHDN dengan klik pautan berikut: http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_1.pdf (Bahasa Malaysia) dan http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_2.pdf (Bahasa Inggeris).
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini menyatakan mereka yang layak menerima BPN tetapi belum mendaftar dengan LHDN boleh membuat permohonan menerusi portal rasmi LHDN.
— BERNAMA