British Airways jangka buang 12,000 pekerja

British Airways jangka buang 12,000 pekerja

LONDON,. British Airways dijangka memberhentikan sehingga 12,000 pekerja sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula syarikat, susulan kerugian besar akibat pandemik COVID-19, kata syarikat induk International Airlines Group (IAG), semalam.

Firma itu berkata, mereka masih memperhalusi keputusan berkenaan namun berkemungkinan besar ia akan membabitkan sebahagian besar petugas British Airways, dengan jumlah dijangka mencecah 12,000 orang.

“Permintaan penumpang akan mengambil masa beberapa tahun untuk kembali ke tahap pencapaian 2019,” katanya.

Pegangan saham IAG yang turut memiliki Iberia dan Vueling merosot 2.2 peratus, selari dengan keputusan awal yang menunjukkan kemerosotan pendapatan suku tahun pertama sebanyak 13 peratus, kepada 4.6 bilion euro (RM21.7 bilion).

Keputusan operasi kumpulan turut mencatatkan kerugian sebanyak 535 juta euro (RM2.5 bilion), berbanding keuntungan 135 juta euro (RM637 juta) tahun lalu, dengan suku tahun kedua dijangka lebih buruk.

Menurut IAG, mereka mengurangkan kapasiti penumpang sebanyak 94 peratus sepanjang April dan Mei, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Eksekutif British Airways, Alex Cruz bulan lalu memberi amaran terhadap kesan buruk yang bakal menimpa syarikat penerbangan itu susulan pandemik COVID-19.

Sejak beberapa minggu lalu, operasi penerbangan hanya mencakupi beberapa perjalanan penting dan penghantaran pulang pelancong yang terkandas.

Syarikat berkenaan yang memiliki anggaran 45,000 pekerja termasuk 4,000 juruterbang dan 16,500 kru kabin sebelum ini sudah merehatkan hampir 23,000 petugas. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)