
Brosur Digital Interaktif, interaksi maya destinasi pelancongan
KUALA LUMPUR,. ‘Brosur Digital Interaktif,’ yang merupakan laman pelancongan digital, membuka dimensi lebih luas bagi membolehkan pengguna berinteraksi secara maya dalam meneroka maklumat destinasi pelancongan domestik.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata laman itu merupakan langkah penjenamaan semula risalah digital Tourism Malaysia dan berbeza dengan e-brosur sebelum ini.
“Brosur Digital Interaktif yang boleh diakses melalui laman mikro e-brochures.malaysia.travel ini memberikan nafas baharu kepada risalah digital berformatkan PDF (Format Dokumen Mudah Alih) yang sebelum ini hanya boleh dimuat turun dan dicetak.
“Reka bentuk laman ini bersifat responsif mudah alih dengan ciri keserasian pelbagai skrin bermakna ia mudah diakses melalui pelbagai peranti mudah alih seperti telefon bimbit, tablet atau komputer riba… laman ini juga menggabungkan pelbagai elemen multimedia seperti teks, grafik, animasi dan video untuk penyampaian maklumat secara berkesan,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan Brosur Digital Interaktif di sini pada Selasa.
Beliau berkata laman interaktif itu memuatkan lima risalah Tourism Malaysia yang paling digemari dalam kalangan pelancong iaitu Malaysia Travel Guide, Kuala Lumpur the Dazzling Capital City, Langkawi the Jewel of Kedah, Islands and Beaches dan Adventures with Nature.
“Laman ini juga dilengkapi dengan opsyen kongsi yang membolehkan kandungan risalah tersebut dikongsi lebih mudah melalui pelbagai aplikasi lain seperti Facebook, Twitter dan WhatsApp,” katanya.
Nancy berkata untuk mempromosi Malaysia sebagai antara destinasi pilihan di rantau ini, Kementerian Pelancongan melalui Tourism Malaysia sentiasa giat menyusun pelbagai strategi inovatif bagi merancakkan semula industri pelancongan domestik yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Antara inisiatif penting yang sedang dilaksanakan ialah konsep digitalisasi menyeluruh selari dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030,” katanya.
Beliau juga menyeru orang ramai agar memanfaatkan informasi yang disediakan melalui laman interakstif ini dengan mengambil peluang percutian selamat bersama keluarga dan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.
— BERNAMA