
BSN akan pastikan pelanggan dapat berurus niaga perbankan dengan lancar
KUALA LUMPUR,. Bank Simpanan Nasional (BSN) berkata ia telah menerima uurus niaga melebihi kebiasaaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, iaitu tiga kali lebih tinggi daripada biasa pada platform myBSN.
Dalam satu jawapan yang singkat kepada Bernama, bank itu berkata ia berusaha sedaya upaya untuk menampung setiap urus niaga untuk memastikan pelanggan BSN mengalami urus niaga perbankan yang lancar.
Platform dalam talian BSN iaitu myBSN mengalami masalah akses kerana jumlah trafik yang tinggi sejak pagi hari ini kerana hari ini adalah hari pertama di mana orang ramai dapat menyemak kelayakan mereka dan membuat permohonan untuk bantuan tunai ‘Bantuan Prihatin Nasional’ (BPN).
Bagaimanapun, BSN tidak mengaku atau menolak apabila ditanya sama ada trafik tinggi itu disebabkan oleh BPN, bantuan tunai sekali untuk individu dari kumpulan B40 dan M40 (kumpulan pendapatan rendah dan pertengahan), yang merupakan antara inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat untuk membantu rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat untuk mengatasi kesan negatif daripada pandemik COVID-19.
Tempoh PKP dilanjutkan dari dua minggu hingga satu bulan, dari 18 Mac hingga 14 April.
Sementara itu, LHDN menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan status kelayakan BPN di luar waktu puncak memandangkan trafik capaian ke portal rasmi adalah amat tinggi buat masa ini.
“Memandangkan hari ini adalah hari pertama, sudah pasti orang ramai sangat teruja untuk menyemak sama ada mereka layak atau tidak. Bagaimanapun, orang ramai boleh semak status mereka mulai 1 April hingga 30 April, 2020. Bagi permohonan yang tidak berjaya, rayuan boleh dikemukakan di portal rasmi agensi itu https://www.hasil.gov.my atau https://bpn.hasil.gov my, bermula 3 April ini.
Bayaran BPN akan dilakukan secara berperingkat pada bulan April dan Mei 2020, kata LHDN.
— BERNAMA