Bubar DUN: Pas buat keputusan sendiri, tak bincang dengan PH – Abdul Hadi

Bubar DUN: Pas buat keputusan sendiri, tak bincang dengan PH – Abdul Hadi

KUALA PILAH: Pas tidak akan membuat keputusan bersama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menentukan pembubaran Dewan Undangan Negeri(DUN) di tiga negeri yang diterajuinya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jika negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan mahu membubarkan DUN Jun ini, itu terpulang kepada mereka.

“Kita akan berbincang sesama sendiri dan ia terpulang pada kami bila mahu bubarkan DUN.

“Sama ada mereka (PH) nak ikut atau tidak, itu terpulang. Selama ini pun, mereka banyak mengikut kita. Sebelum ini, kita buat kenyataan tidak mahu ikut membubarkan Parlimen, mereka ikut juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Semarak Gelombang Rakyat Bersama Perikatan Nasional(PN) di Ladang Alam Warisan pada Sabtu. Hadir sama, Naib Presiden Bersatu, Datuk Radzi Jidin, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith dan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.

Tegasnya, Pas akan membuat keputusan sendiri tentang tarikh bersesuaian untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat pucuk pimpinan tertinggi parti akan datang.

Tambahnya, pihaknya juga akan membuat kajian pelbagai aspek sebelum menetapkan tarikh sesuai untuk pembubaran DUN. “Kita akan kaji dari segi kesan kepada pengundi luar, mahasiswa, pengundi muda dan orang balik bercuti raya,” katanya.

Sementara itu ditanya berkenaan tindakan BN Terengganu memfailkan tiga petisyen bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu, Abdul Hadi berkata, ia merupakan tindakan gerak saraf kepada Pas.

“Ini kerana mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil calon tidak boleh memfailkan petisyen,” katanya.
Berkenaan tindakan pemimpin PH yang menyifatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘beban’ kepada PH dan Kerajaan Perpaduan, beliau berkata, mereka hanya mendedahkan perasaan sendiri.

“Itu dia mendedahkan perasaan dia sendiri. Kami lihat dari jauh saja,” ujarnya.

— Sinar Harian

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)