Bukit Senorang merupakan destinasi pelancongan baharu Bera

Bukit Senorang merupakan destinasi pelancongan baharu Bera

BERA: Siapa sangka, Bukit Senorang yang dahulunya hanya dikenali sebagai kawasan taman penduduk tempatan kini menjadi antara produk pelancongan di daerah ini.

Lokasi santai dan menarik untuk aktiviti riadah keluarga hujung minggu ini telah diwartakan sebagai pusat rekreasi di negeri Pahang.

Untuk sampai ke puncak Bukit Senorang hanya memerlukan antara 45 minit hingga sejam bergantung kepada kemampuan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, Program Hiking Day 2022 anjuran Jawatankuasa Pelancongan Pahang merupakan salah satu inisiatif bagi memeriahkan agenda pelancongan di negeri ini.

“Sejujurnya, ini kali pertama saya mendaki dan barulah saya tahu betapa seronoknya mendaki apabila tiba di puncak. Ia satu kepuasan yang sukar digambarkan.

“Patutlah ramai yang gila mendaki. Mereka dapat menikmati suasana ini. Tapi, sekarang, aktiviti ini menjadi trend. Dulu susah nak buat, tapi sekarang semakin ramai yang menjadikan aktiviti lasak ini sebagai rekreasi keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Hiking Day 2022, pagi tadi yang turut dihadiri Pegawai Daerah, Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif.

Pada program itu, seramai 150 peserta pelbagai peringkat umur berjaya menamatkan pendakian antara 30 hingga 60 minit untuk sampai ke puncak.

Program yang sama turut dijalankan serentak di 13 lokasi berbeza di negeri Pahang.

Norolazali berkata, produk Bukit Senorang ini mampu menjadi pemangkin peningkatan ekonomi masyarakat Bera khususnya masyarakat setempat.

“Banyak faedah boleh dinikmati menerusi produk pelancongan ini. Selain aktiviti mendaki ini dilihat sebagai aktiviti fizikal yang melampau, ia juga membantu memperkaya pengetahuan pengunjung sekiranya setiap pokok dilabelkan dengan nama.

“Malah, jika bernasib baik, mereka yang berkunjung ke sini dapat menikmati keindahan awan permaidani. Difahamkan, jika hujan sehari sebelumnya, esok pagi mereka boleh melihat awan permaidani. Itulah keunikan Bukit Senorang,” katanya berkata.

Beliau percaya, promosi aktiviti ini boleh dijadikan sebagai aktiviti hujung minggu keluarga bagi menyemarakkan idea Perdana Menteri untuk memupuk nilai kekeluargaan.

-Azee Shafy

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )