Bulan Keluarga Kebangsaan kini Bulan Keluarga Malaysia – Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 7 Nov — Bulan Keluarga Kebangsaan akan dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia (BKM) mulai tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau berkata sambutan itu yang diraikan pada bulan November, akan menjadi platform untuk menyemarakkan keutuhan serta keterangkuman dalam Keluarga Malaysia.

“Ini sekali gus menjamin kemakmuran dan perpaduan sebuah keluarga yang besar,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Sambutan BKM 2021 di Taman Botani Perdana, di sini hari ini.

Sambutan itu anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN). Ismail Sabri berkata penganjuran program melibatkan sambutan itu, boleh dilakukan pada peringkat kebangsaan dengan kerjasama agensi kerajaan sebagai satu acara nasional negara bagi mempertingkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Selain penyertaan kementerian dan kerajaan negeri sebagai penggerak utama program, beliau berharap pihak-pihak seperti sektor swasta dan komuniti, turut mengambil bahagian dalam program kesejahteraan keluarga itu.

Ismail Sabri sebelum ini telah melancarkan konsep Keluarga Malaysia yang bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri kesembilan itu menerusi ucapan sulungnya selepas dilantik menerajui tampuk kerajaan, pada 22 Ogos
lepas.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam ucapannya berkata inisiatif Prihatin Keluarga Malaysia, diperkenalkan bagi membolehkan pasangan berdepan dengan permasalahan keluarga menghubungi kaunselor LPPKN secara terus.

“Inisiatif ‘Toll Free Helpline Family Care’, merupakan talian khas yang tersedia buat mereka yang ingin berkongsi dan mengadu rasa hati secara terus, tanpa perlu risau soal privasi mahupun penghakiman awam.

“Talian bebas 1-800-82-0300, suami atau isteri atau kedua-duanya boleh berkomunikasi secara terus tanpa sempadan, menerusi khidmat tele-kaunseling dan e-Kaunseling yang tersedia,” katanya.

Selain itu, dalam memastikan konsep Keluarga Malaysia difahami secara menyeluruh, Rina berkata sebanyak 120 aktiviti dijalankan dengan kerjasama kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)