Bung Moktar hormati kritikan sekumpulan pemimpin UMNO Sabah

Bung Moktar hormati kritikan sekumpulan pemimpin UMNO Sabah

KOTA KINABALU, 22 Ogos — Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata beliau menghormati pandangan sekumpulan pemimpin UMNO negeri yang membantah pelantikannya mengetuai jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Sambil menegaskan beliau tidak tersinggung dengan tindakan kumpulan terbabit, Bung Moktar berkata isu itu perlu ditangani dengan bijak memandangkan UMNO sedang bersiap untuk menghadapi “peperangan” pada 26 Sept ini.

“Saya no hard feeling (saya tidak berkecil hati), tidak apa,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas UMNO, di sini hari ini.

Selasa lalu, sekumpulan pemimpin UMNO Sabah diketuai Ketua UMNO Bahagian Tuaran Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyatakan tidak setuju dengan pelantikan Bung Moktar sebagai ketua jentera Barisan Nasional (BN) Sabah bagi menghadapi PRN.

Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah mengakui tindakan kumpulan tersebut sedikit-sebanyak memberi kesan kepada UMNO negeri namun yakin pihaknya masih mempunyai masa untuk memulihkan keadaan sebelum PRN berlangsung.

Sementara itu, Bung Moktar turut mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin sebagai Pengarah Operasi Jentera PRN Sabah bagi BN negeri.

Beliau juga berkata BN akan menggunakan logo dan benderanya sendiri pada PRN itu.

Mengenai agihan kerusi di antara BN dan sekutunya, Bung Moktar berkata proses itu masih berjalan dan akan dimuktamadkan sebelum penghujung bulan ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)