Bursa bercampur – bercampur  pada awal dagangan

Bursa bercampur – bercampur pada awal dagangan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia bercampur-campur ketika memulakan urus niaga pada Rabu, menjejaki prestasi semalaman Wall Street selepas mencatat aliran peningkatan ketara baru-baru ini.

Pada 9.05 pagi ini, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.28 mata kepada 1,450.82 daripada paras penutup pada 1,453.10.

Indeks petunjuk utama itu dibuka turun 0.56 mata kepada 1,452.54.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 161 berbanding 149 manakala 284 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,634 tidak diniagakan dan 22 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 278.18 juta unit bernilai RM71.76 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata pasaran di Amerika Syarikat (AS) dijejaskan lagi oleh tindakan bank Britain Barclays menurunkan penarafan Apple yang disusuli dengan sahamnya merosot sebanyak tiga peratus.

Dow Jones naik 25 mata manakala Nasdaq susut 245 mata dan hasil Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat kepada 3.94 peratus.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng memulakan tahun baharu 2024 dengan kurang memberangsangkan, dijejaskan oleh sentimen yang kekal berhati-hati berikutan data ekonomi terkini China yang memaparkan pemulihan tidak sekata dengan keyakinan keseluruhan masih lemah.

Dalam pada itu di peringkat tempatan, FBM KLCI diniagakan lebih rendah apabila dagangan kekal kurang memberangsangkan dalam prestasi serantau yang bercampur-campur.

Malah, beberapa khabar angin membabitkan senario politik terus menjejaskan minat terhadap pasaran saham tempatan.

“Bagaimanapun, kami percaya sekarang merupakan masa yang tepat untuk membeli beberapa saham perbankan dan pembinaan memandangkan banyak prospek berkaitan pekerjaan yang sedang dirancangkan. Oleh itu, indeks utama dijangkakan bergerak dalam aliran 1,450-1,460 hari ini,” kata Pak Leng kepada BERNAMA.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank tidak berubah iaitu masing-masing pada RM8.92 dan RM4.28, CIMB meraih satu sen kepada RM5.85, Tenaga turun 2.0 sen kepada RM9.96, Petronas Chemicals menokok 3.0 sen kepada RM7.18 dan IHH Healthcare turun 3.0 sen kepada RM5.96.

Bagi saham aktif, MMAG meningkat 4.5 sen kepada 17 sen, Hong Seng Consolidated dan Sapura Energy tidak berubah pada 3.0 sen dan 5.5 sen, DNonce meraih 4.0 sen kepada 19.5 sen dan Alam Maritim menokok setengah sen kepada 3.0 sen.

Indeks FBM ACE naik 18.46 mata kepada 5,373.01, Indeks FBM Emas turun 12.16 mata kepada 10,808.82 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 12.42 mata kepada 10,468.68.

Pada masa sama, Indeks FBM 70 turun 0.85 mata kepada 14,632.80 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 18.68 mata kepada 10,959.59.

Bagi sektor, Indeks Hartanah turun 0.28 mata kepada 864.06 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.23 mata kepada 174.59 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 0.77 mata kepada 16,287.50.

Indeks Perladangan susut 16.91 mata kepada 6,951.22 manakala Indeks Tenaga turun 2.08 mata kepada 817.29.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)