
Bursa dibuka bercampur – campur pada pagi ini
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur pada sesi awal dagangan Isnin apabila kebimbangan mengenai kemelesetan global muncul semula, terutama selepas Bank of England mengambil tindakan mengejut dengan kenaikan kadar 50 mata asas, kata seorang peniaga.
Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 1.57 mata kepada 1,392.46 daripada 1,390.89 pada penutup Jumaat.
Indeks utama dibuka 0.66 lebih tinggi pada 1,391.55.
Walau bagaimanapun, pergerakan pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung 152 berbalas 126, manakala 250 kaunter tidak berubah, 1,789 tidak diniagakan dan 40 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 236.09 juta unit bernilai RM80.70 juta.
Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd percaya pasaran akan terus memantau data ekonomi dari Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan China untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keadaan semasa ekonomi minggu ini.
Bagi komoditi, ia menambah minyak mentah Brent diniagakan melebihi AS$73 setong, manakala harga minyak sawit mentah (MSM) berlegar melepasi RM3,600 satu tan.
Sementara itu, dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan CIMB masing-masing meningkat dua sen kepada RM3.90 dan RM5.23 manakala Tenaga Nasional turun tiga sen menjadi RM9.17, IHH Healthcare berkurangan dua sen kepada RM5.84 dan Maybank tidak berubah pada RM8.74.
Bagi saham aktif, Bahvest Resources menokok dua sen kepada 18.5 sen dan Sarawak Consolidated naik satu sen menjadi 43.5 sen manakala Reach Energy dan Cloudpoint Technology masing-masing susut setengah sen kepada 3.5 sen dan 54.5 sen manakala Classita kekal pada 9.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 5.94 mata pada 10,238.12, Indeks FBMT 100 meningkat 6.86 mata menjadi 9,940.58 dan Indeks FBM ACE memperoleh 6.28 mata kepada 5,049.15.
Indeks FBM Emas Syariah turun 6.30 mata kepada 10,509.45 dan Indeks FBM 70 lemah 9.12 mata kepada 13,447.07.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 40.18 mata kepada 15,485.03 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.18 mata menjadi 159.05, manakala Indeks Tenaga merosot 0.71 mata kepada 784.37 dan Indeks Perladangan lemah 12.04 mata kepada 6,706.40.
–BERNAMA