Bursa dibuka lebih tinggi hari ini

Bursa dibuka lebih tinggi hari ini

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan aliran menaik untuk memulakan urus niaga pagi ini lebih tinggi, didorong oleh sentimen yang kian baik dengan peningkatan harga minyak mentah mereda seketika berikutan gesaan Emiriah Arab Bersatu untuk meningkatkan bekalan minyak, kata seorang peniaga.

Pada 9.04 pagi, indeks penanda aras pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 12.54 mata kepada 1,574.87 daripada 1,562.33 pada penutup Rabu.

Indeks utama mengukuh 8.38 mata pada paras pembukaan kepada 1,570.71.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung melebihi kaunter rugi 303 berbalas 107, manakala 178 kaunter tidak berubah, 1,699 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 238.57 juta unit bernilai RM169.65 juta.

Menurut laporan berita, UAE bersama-sama Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan Sekutu, telah mengekalkan komitmen untuk meningkatkan bekalan minyak sebanyak 400,000 tong sehari setiap bulan untuk mengisi jurang bekalan akibat perang Ukraine-Russia.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata ekuiti Amerika Syarikat (AS) turut melantun mendadak berikutan sentimen positif ini, dengan Purata Perindustrian Dow Jones (Purata DJI) meningkat 654 mata kepada 33,286.25 manakala Nasdaq melonjak 460 mata untuk ditutup melebihi paras 13,000.

“Sementara itu, hasil 10 tahun AS juga berakhir lebih tinggi pada sekitar 1.95 peratus,” katanya.

Beliau menambah harga minyak sawit mentah melambung menghampiri paras RM7,700 sekali lagi, sementara penanda aras minyak minyak mentah Brent susut kepada AS$112 setong.

Di pasaran domestik pula, Thong berkata FBM KLCI dijangka mengekalkan aliran menaik dan berlegar dalam julat 1,555 hingga 1,575.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, kedua-dua Maybank dan Petronas Chemicals meningkat 17 sen, masing-masing kepada RM8.98 dan RM10.14, Public Bank dan IHH Healthcare menokok 10 sen setiap satu kepada RM4.50 dan RM6.48, manakala Press Metal rugi 19 sen kepada RM6.68.

Bagi saham aktif, Hibiscus Petroleum susut 16 sen kepada RM1.18, Green Packet naik setengah sen pada 10 sen, DNex dan Pertama Digital menambah tiga sen masing-masing kepada RM1.08 dan 85 sen, manakala Dataprep meningkat dua sen kepada 38.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas untung 91.37 mata kepada 11,134.54, Indeks FBM Emas Syariah mengembang 52.22 mata kepada 11,775.96, Indeks FBM 70 naik 172.45 mata kepada 12,991.65, Indeks FBMT 100 meningkat 98.55 mata kepada 10,838.89 dan Indeks FBM ACE mengukuh 52.42 mata kepada 5,246.81.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.50 mata kepada 208.43 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 268.82 mata kepada 16,276.44, manakala Indeks Perladangan susut 129.34 mata kepada 8,299.48.

-– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This