Bursa dibuka lebih tinggi pada hari ini

Bursa dibuka lebih tinggi pada hari ini

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia menongkah penurunan yang dialami semalam untuk dibuka tinggi pada Jumaat, disokong oleh minat belian yang muncul semula walaupun Wall Street mencatatkan prestasi lemah dalam tempoh semalaman, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 6.39 mata kepada 1,545.19 daripada 1,538.80 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka 7.18 mata lebih tinggi kepada 1,545.98.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanya 306 berbanding 142, manakala 233 kaunter tidak berubah, 1,562 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 284.28 juta saham bernilai RM174.42 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, Wall Street ditutup kebanyakannya rendah dengan Indeks Harga Pengeluar pada April 2022 meningkat sekali gus menunjukkan tekanan inflasi dijangka berpanjangan.

“Memandangkan kebimbangan inflasi yang berterusan, kami percaya tekanan jualan mungkin berpanjangan di Wall Street, diterjemahkan sebagai limpahan aktiviti jualan kepada sektor teknologi,” jelasnya menerusi nota penyelidikan.

Di peringkat domestik, pasaran tempatan dijangka menyaksikan aktiviti pembelian semasa harga rendah muncul dalam sektor bertemakan pemulihan dan perladangan menjelang musim pelaporan.

“Pelabur juga mungkin memberi tumpuan kepada sektor perbankan susulan kenaikan Kadar Dasar Semalaman,” tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut lapan sen kepada RM8.99, Public Bank turun satu sen kepada RM4.62, Petronas Chemicals naik lapan sen kepada RM9.95 dan IHH Healthcare kekal tidak berubah pada RM6.45.

Bagi saham aktif, Serba Dinamik dan Yong Tai masing-masing menokok setengah sen kepada sembilan sen dan 10.5 sen, DNeX menambah 2.5 sen kepada 95.5 sen, manakala Techna-X kekal tidak berubah pada 11.5 sen.

Di papan indeks, FBM ACE meningkat 28.88 mata kepada 5,258.66; Indeks FBM Emas menokok 36.34 mata kepada 10,989.38; Indeks FBMT 100 menambah 30.52 mata kepada 10,671.0; Indeks FBM Emas Syariah naik 93.17 mata kepada 11,394.95 manakala FBM 70 susut 18.76 mata kepada 12,948.08.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 78.64 mata kepada 16,622.84; Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.64 mata kepada 195.11 dan Indeks Perladangan melonjak 145.26 mata kepada 8,167.15.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)