Bursa dibuka lebih tinggi pada pagi

Bursa dibuka lebih tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Dagangan Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street yang amat memberangsangkan selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah dalam usaha mengatasi inflasi, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.06 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kukuh 10.11 mata kepada 1,581.43 daripada 1,571.32 pada penutupan semalam.

Indeks utama itu dibuka 6.24 mata lebih tinggi pada 1.577.56.

Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi dengan 336 berbalas 85 sementara 185 kaunter tidak berubah, 2,310 tidak diniagakan dan 40 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 175.14 juta bernilai RM155.16 juta.

Menurut Fed, ia akan menaikkan kadar penanda arasnya sebanyak suku peratusan mata kepada antara 0.25 peratus dan 0.5 peratus, kenaikan kadar pertama sejak 2018.

Di Wall Street, Purata Perindustrian Dow Jones melonjak lebih 500 mata manakala Indeks Komposit Nasdaq dan S&P500, masing-masing meningkat 488 dan 95 mata.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pelabur menganggap kenaikan 25 mata asas itu adalah sejajar dengan jangkaan pasaran.

Di pasaran tempatan, selepas mencatatkan pemulihan semalam berikutan penjualan selama tiga hari sebelum ini, FBM KLCI dijangka kekal tinggi kerana pelabur mungkin meneruskan aktiviti memburu saham berharga rendah, didorong oleh penilaian murah saham tempatan serta aliran masuk berterusan pelabur asing.

“Oleh itu, FBM KLCI diunjurkan bergerak dalam julat antara 1,565 dan 1,585 hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik lima sen kepada RM8.95, Public Bank menokok tiga sen kepada RM4.55, Petronas Chemicals meningkat 10 sen kepada RM9.41, IHH Healthcare meraih tiga sen kepada RM6.40, CIMB peroleh empat sen kepada RM5.34, dan Tenaga menambah satu sen kepada RM9.11.

Bagi saham aktif, Dagang Nexchange untung tiga sen kepada RM1.03 manakala ATA IMS tidak berubah pada 39.5 sen dan NWP turun setengah sen kepada 26 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 83.57 mata kepada 11,206.37, Indeks FBM Emas Syariah naik 85.67 mata kepada 11,793.83, FBM 70 melonjak 162.72 mata kepada 13,252.94, Indeks FBMT 100 lebih tinggi sebanyak 83.63 mata kepada 10,920.75 dan FBM ACE menokok 55.90 mata kepada 5,325.11.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.78 mata kepada 200.94, Indeks Perladangan memperoleh 33.63 mata kepada 7,974.83 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 117.87 mata kepada 16,586.30.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)